Pengadil melihat skrin pada perlawanan latihan pengadil VAR pada sesi simulasi VAR Liga Malaysia 2024/2025 di Stadium UiTM Shah Alam, kelmarin.- Gambar: Fariz Rusadio
PETALING JAYA: Bagi memastikan saingan Liga Malaysia (Liga M) menepati standard antarabangsa sekali gus meningkatkan kualiti saingan tempatan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu menanggung kos hingga mencecah RM6 juta.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, kos berkenaan dibelanjakan oleh pihaknya untuk mendapatkan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) yang akan digunakan dalam saingan Liga M bermula musim ini.
Jelasnya, kos operasi VAR pula dianggarkan mencecah sekitar RM3.2 juta hingga RM3.4 juta setahun, termasuk kos pengadil.
“Kita harap kita boleh kurangkan, ini bajet sahaja bukan kos sebenar. Tapi kita harap dapat kurangkan kos ini dalam jangka masa panjang.
“Kita tak tahu apa keperluan yang kita perlu ada dari segi alat ganti, tambahan krew atau keperluan tempatan untuk implementasi VAR,” katanya kepada media pada sesi simulasi VAR di Stadium UiTM, di Shah Alam, kelmarin.
Terdahulu, mutu pengadilan liga tempatan sering menjadi sasaran kritikan sehingga beberapa pengadil pernah digantung daripada tugas.
Justeru, dengan penggunaan VAR di Liga M diharapkan mampu membantu pengadil dalam membuat keputusan lebih tepat selain membuka peluang kepada pengadil tempatan mengadili kejohanan terbesar seperti Piala Dunia.
Dalam perkembangan sama, Stuart berharap lapan aksi ujian membabitkan beberapa pasukan Liga M dalam perlawanan pramusim ini dapat dimanfaatkan sebaiknya, malah mampu menemui seberapa banyak kelemahan VAR untuk diperbaiki sebelum sepak mula sebenar pada 10 Mei ini.
“Jangkaan kami adalah untuk menghadapi masalah kerana kami harap kita dapat hadapi sebagai sebuah unit. Kerjasama pasukan dan produksi serta krew teknologi VAR akan dapat menghadapi apa jua kekangan yang kita hadapi dalam ujian ini.
“Kita tahu ia tidak akan lancar kerana kita dapat lihat dari ‘review’ VAR ia mengambil sedikit masa dan juga dari segi infrastruktur di beberapa (stadium) negeri serta segala masalah yang perlu diharungi untuk satu musim.
“Kami harap dapat menerima seberapa banyak masalah yang mungkin. Jadi kami boleh bersedia apabila dengan jalan penyelesaian yang sesuai,” jelasnya.
Untuk rekod, empat set sistem VAR dan alat intercom digunakan pengadil dengan VAR itu di tempatkan dalam lori yang akan bergerak dari satu venue ke satu venue sepanjang musim.
































