Gambar hiasan
PETALING JAYA: Malaysia Airlines (MAS) bertindak membatalkan semula beberapa penerbangan antara Kuala Lumpur ke Sabah ekoran gunung berapi, Gunung Ruang di Indonesia yang meletus semalam.
Menurut Utusan Malaysia, syarikat penerbangan tersebut dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berusaha untuk mengembalikan operasi seperti biasa selepas kejadian gunung berapi yang meletus itu.
Menurutnya, beberapa penerbangan yang dijadualkan berlepas hari ini terpaksa dibatalkan selepas mengambil kira keadaan cuaca dan keselamatan operasi.
“Kemas kini akan diberikan di sini secara berkala dan dimaklumkan terus kepada pelanggan yang terjejas sekiranya terdapat sebarang perubahan pada penerbangan mereka.
“Penumpang digesa untuk mengemas kini butiran hubungan mereka melalui My Booking di laman web MAS untuk menerima kemas kini tepat pada masanya dari semasa ke semasa melalui e-mel dan khidmat pesnan ringkas (SMS),” katanya.
Untuk rekod, penerbangan yang dibatalkan hari ini membabitkan penerbangan MH2610 (KUL-BKI), MH2611 (BKI-KUL), MH2612 (KUL-BKI), MH2621 (BKI-KUL), MH2646 (KUL-BKI) dan MH2641 (BKI-KUL).
Selain itu, turut terkesan adalah MH2660 (KUL-TWU), MH2661 (TWU-KUL), MH2710 (KUL-SDK) dan MH2711 (SDK-KUL).
Sebelum ini, MAS mengumumkan sudah memulakan kembali penerbangan secara beransur-ansur terutama Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan sejak petang semalam.
Mengulas lanjut, MAS turut menawarkan penukaran penerbangan atau membatalkan perjalanan bagi pelanggan yang terkesan dan ia boleh dibuat melalui My Booking di laman sesawangnya.
“Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh menghubungi sokongan Sembang Langsung kami yang tersedia di tapak web atau menghubungi Pusat Hubungan Global kami.
“Keselamatan penumpang dan anak kapal kami kekal penting kepada MAS,” katanya.
Untuk rekod, kira-kira 2,000 penumpang terkandas di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi penerbangan ke Sabah dan Sarawak susulan letusan Gunung Ruang di Sulawesi, Indonesia.
Tinjauan mendapati penumpang terjejas masih tidak berganjak dan berkumpul di ruang pelepasan sehingga petang semalam bagi mendapatkan perkembangan terkini penerbangan masing-masing.
































