Alexis Mac Allister (kiri) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol menentang Sheffield United di Anfield, semalam.
KEPUTUSAN
Chelsea 4 Manchester United 3
Liverpool 3 Sheffield United 1
LIVERPOOL: Alexis Mac Allister kembali menyalakan semangat Liverpool selepas jaringannya menjadi inspirasi kemenangan 3-1 ke atas Sheffield United pagi tadi sekali gus merampas semula kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Arsenal.
Menurut Utusan Malaysia, anak-anak buah Jurgen Klopp bangkit luar biasa selepas kelebihan jaringan Darwin Nunez seawal minit ke-17 terpadam apabila lawan mengikat kedudukan hasil jaringan sendiri Conor Bradley pada minit 58 babak kedua perlawanan.
Kedudukan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Mac Allister memecah kebuntuan di Anfield dengan kembali meletakkan Reds di depan sebelum Cody Gakpo melengkapkan kemenangan di akhir perlawanan.
Kemenangan itu membolehkan Liverpool berkelebihan dua mata di depan Arsenal dengan baki lapan perlawanan lagi ketika saingan ke penutup musim semakin sengit melibatkan tiga pasukan tangga teratas.
Dalam satu lagi perlawanan, dua jaringan Cole Palmer pada masa kecederaan melengkapkan hatrik pemain itu ketika menewaskan Manchester United 4-3 sekali gus menutup harapan Red Devils ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Pemain-pemain Erik Ten Hag bangkit dari ketinggalan 2-0 untuk mendahului 3-2, namun Palmer memastikan Chelsea menyamakan kedudukan pada minit ke-100 sebelum menyumbat gol keempat pasukan untuk kemenangan 4-3.
Kekalahan itu meletakkan United di tangga keenam dengan ketinggalan 11 mata di belakang Aston Villa.
































