Lokasi kejadian lima sekeluarga tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai. – Ihsan Bomba
SERDANG: Mangsa terakhir tragedi kepala air di saliran longkang monsun di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan, dekat sini, ditemukan di Tasik Putra Perdana, di sini, kelmarin.
Mayat kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemukan pada pukul 9 pagi, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Zon Petaling Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Syariman Wan Salleh berkata, mangsa ditemukan dalam pencarian dilakukan di permukaan air di Tasik Putra Perdana pada jarak 100 meter dari pintu air.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula pukul 7.30 pagi tadi (kelmarin) itu menumpukan lokasi pencarian di kawasan pesisir iaitu sekitar Tasik Putra Perdana.
“Dengan penemuan mayat mangsa terakhir tersebut, operasi SAR ditamatkan pada pukul 10.15 pagi tadi,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian.
Menurut beliau, mayat kanak-kanak perempuan itu dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Izudin Ab Wahab berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk di Putra Perdana di sini berhubung penemuan satu mayat kanak-kanak pada pukul 8.17 pagi.
“Pihak bomba telah mengambil jasad terbabit dan identiti disahkan oleh bapa mangsa bahawa itu anak bongsunya,” katanya.
Semalam media melaporkan kegembiraan lima beranak ketika menjala berakhir tragedi apabila empat daripada mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan dalam kejadian kepala air di sebuah sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, di sini.




























