Kes bekas pemain bola sepak Sabah FC, Mohd. Rizal Mohd. Ghazali yang didakwa memukul teman wanitanya.
PETALING JAYA: Kes bekas pemain bola sepak Sabah FC, Mohd. Rizal Mohd. Ghazali yang didakwa memukul teman wanitanya dan merosakkan telefon bimbit wanita itu di sebuah hotel dibicarakan bermula 1 Julai ini.
Ia selepas representasi untuk menggugurkan kedua-dua pertuduhan yang dihadapi pemain pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC itu ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut Utusan Malaysia, surat representasi tersebut dihantar ke AGC pada 6 Februari lalu.
“Pendakwaan mendapat arahan agar pertuduhan diteruskan dengan perbicaraan dan pernyataan-pernyataan akan dikemukakan jadi saya mohon satu tarikh perbicaraan,” ujar Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Md. Kamal semasa sebutan kes itu di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Pada prosiding kelmarin, peguam bela Mohamed Ashmeer Mohamed Ashraf hadir mewakili Mohd. Rizal.
Pada 19 Jun lalu, Mohd. Rizal, 32, mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Hani Farhana Hasrul Sani, 37, pada pukul 6 pagi, 7 Jun lalu di sebuah bilik hotel di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada masa, tarikh dan tempat sama, Mohd. Rizal didakwa melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit milik mangsa sama sehingga menyebabkan Hani Farhana mengalami kerugian RM4,500.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 8 Jun 2023, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam satu laporan memberitahu, pihaknya telah menahan seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan kerana disyaki mencederakan teman wanitanya di sebuah hotel.
Menurut Mohamad Fakhrudin, kejadian itu berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa dan teman lelakinya yang disyaki menyebabkan kecederaan di bahagian badan mangsa.
Terdahulu, tular dalam media sosial mengenai pemain bola sepak Liga Super berusia 30 tahun yang didakwa mencederakan teman wanitanya.
Pendedahan tersebut dibuat mangsa yang menggunakan nama profil, Dr. Hana Rose di akaun Instagramnya dengan memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan tangannya cedera dipercayai akibat pergelutan dengan teman lelakinya itu.
“Didera oleh lelaki yang saya cintai, dulu berjanji setia selamanya sehingga tua, tetapi akhirnya. Terkadang wanita boleh jadi bodoh dengan (orang) yang dia sayang, berdiam dan bertahan. Sekarang saya fobia dan trauma,” katanya wanita itu dalam hantaran di laman Instagram miliknya.
































