Tangkap layar rakaman video menunjukkan seketul batu dilemparkan ke arah kereta pengguna lebuh raya di Kampar.
IPOH: Polis meminta pemandu yang menjadi mangsa kenderaan dibaling batu sehingga cermin hadapan kenderaannya retak yang tular di media sosial supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, berdasarkan rakaman video kejadian itu berlaku di Kilometer 311 hingga 310, Lebuh Raya Utara – Selatan arah Utara Kampar dekat sini pada pukul 6.36 petang, 22 Mac lalu.
“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Perak telah mengesan hantaran mengenai kejadian itu dan telah mendapat perhatian serta kebimbangan warga maya.
“Namun, hasil semakan mendapati tiada sebarang laporan polis dilakukan sehingga kini,” katanya di sini, hari ini.
Katanya lagi, pemandu terlibat dinasihatkan segera membuat laporan di balai polis terdekat supaya tindakan lanjut dapat diambil.
Katanya, pihaknya akan memastikan keselamatan pengguna jalan raya dengan mengesan pelaku bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Terdahulu, tular video berdurasi 40 saat yang dipaparkan menerusi kamera papan pemuka kenderaan yang dipandu mangsa menunjukkan batu yang dilempar dari arah bawah jalan mengenai kereta berkenaan sehingga cermin hadapan kereta itu retak.


































