PETALING JAYA: Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand mengesahkan insiden kemalangan jalan raya yang mengorbankan dua pelajar warganegara Malaysia.
Menurut Utusan Malaysia, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian yang berlaku di Lake Tekapo pada 30 Mac 2024, jam 1.45 petang waktu tempatan itu turut membabitkan tiga lagi pelajar yang kesemuanya sudah diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand untuk mendapatkan rawatan segera.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, dengan bantuan komuniti Malaysia di Christchurch, sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan pengurusan kebajikan kesemua mangsa berjalan dengan lancar.
“Kementerian Luar Negeri dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia sedia membantu sekiranya pihak waris membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia.
“Kementerian Luar Negeri juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden ini,” katanya.
Menurut Wisma Putra, dua pelajar yang disahkan meninggal ialah Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa dari University of Canterbury.
Manakala, tiga lagi pelajar yang cedera terbabit dalam kemalangan sama ialah Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Anak Walton dari University of Canterbury serta Muhamad Faris Mohd Fairusham dari Victoria University of Wellington.


































