ALOR GAJAH: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia membantu Jabatan Meteorologi untuk melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) berikutan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permintaan untuk melaksanakan OPA.
“Aset udara ATM sudah bersedia jika ada tuntutan atau permintaan kita sedia beri kerjasama. Sebelum ini kita pernah terlibat dengan OPA di Sabah dan begitu juga di Semenanjung, seandai terdapat permintaan kita akan bantu.
“Biasanya pembenihan awan ini perlu mengambil kira faktor cuaca semasa, jika cuaca benar-benar panas, keadaan awan dan barulah proses ini dilaksanakan” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Parlimen Alor Gajah di Dataran Gangsa di sini, semalam.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, belum ada mana-mana negeri termasuk Perlis dan Kedah yang paling terkesan dengan cuaca panas berikutan fenomena ekuinoks, memohon untuk melaksanakan pembenihan awan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, proses pembenihan awan perlu mengambil kira beberapa faktor sebelum dilaksanakan termasuk permintaan dari negeri-negeri kerana ia melibatkan kos yang tinggi.
Tambah Adly, tahun ini Kementerian Pertahanan menyediakan peruntukan besar bagi bantuan sara hidup untuk veteran tidak berpencen yang sebelum ini menerima bantuan secara sekali bayar (one-off).
“Kadang-kadang mereka mendapat bantuan hanya sekali setahun, namun kali ini mereka akan menerima bantuan sara hidup sebanyak RM300 setiap bulan bagi mereka berada di bawah garis kemiskinan,” ujarnya.































