Anwar Ibrahim
KUANTAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pimpinan politik, penjawat awam dan peniaga agar menjadikan bulan Ramadan sebagai madrasah untuk meningkatkan kewibawaan, akhlak, nilai dan integriti.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri turut mengingatkan golongan terbabit supaya menunjukkan contoh yang baik sebagai umat Islam dengan tidak melibatkan diri dalam penipuan, rasuah dan sakau.
”Bulan Ramadan untuk kita tingkatkan amalan kita. Maknanya kerja kita harus lebih, akhlak kita perlu lebih baik dan memastikan supaya kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
“Jadi saya harap mudah-mudahan bulan Ramadan ini menjadi kesempatan bagi umat Islam memberi contoh yang baik… bukan dari segi jeritan, bukan lagi nak marah dan menghukum orang, menghina orang, dan mencerca orang.. tidak.
“Menunjukkan akhlak yang baik bahawa umat Islam ini kerjanya rajin, akhlaknya baik, tidak menipu, tidak merasuah dan tidak menyakau,” katanya dalam ucapan pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Pahang di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota di sini hari ini.
Anwar turut mengingatkan umat Islam agar mengambil kesempatan sepanjang bulan Ramadan untuk membaca al-Quran bagi meningkatkan amal ibadah dan menjadi insan yang lebih baik.
“Turunnya al-Quran adalah petunjuk kepada manusia. Bermakna kita yang membaca harus memahami menghayati dan mengamalkan, kalau tidak ia tidak akan menjadi petunjuk kepada manusia.
“Bila ada petunjuk baru kita buat pertimbangan, kita mengimbangi dan menilai apa yang hak, apa yang batil, apa yang disuruh dan apa yang dilarang sebagai mungkar,” katanya.
Sementara itu, katanya, sepanjang lawatan kerja ke Pahang hari ini, beliau mengambil kesempatan bertemu pimpinan kerajaan negeri untuk berbincang dan mendengar pandangan tentang projek-projek untuk rakyat di negeri ini.
Terdahulu beliau sempat mengadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz dan mengadakan kunjungan ke Bazar Ramadan Mahkota Square di sini sebelum bersama berbuka puasa bersama masyarakat di Masjid Tengku Ampuan Afzan di sini.
































