Gambar fail menunjukkan kontinjen atlet negara melepasi pentas utama ketika menyertai perbarisan perasmian Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
PETALING JAYA: Kerajaan membuat keputusan tidak menerima tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 berikutan kos penganjurannya terlalu tinggi selain mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat..
Menurut Utusan Malaysia, Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang semalam telah mengambil keputusan tersebut setelah meneliti semua aspek penganjuran temasya berkenaan dan implikasinya.
“Delegasi daripada CGF telah bertemu Menteri Belia dan Sukan dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah itu yang turut dihadiri Menteri Kewangan Kedua pada 5 Februari 2024.
“Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah 100 juta pound (RM603 juta) dijangka tidak
mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar.
“Selain itu, impak ekonomi tidak dapat dikenal pasti dalam jangka masa singkat ini,” kata Kementerian Belia dan Sukan dalam satu kenyataan, semalam.
Dalam masa yang sama, kerajaan mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026.
Bagaimanapun, pada ketika ini kerajaan mahu memberi fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Malaysia ditawarkan menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas Victoria, Australia menarik diri jadi menjadi hos bagi temasya berkenaan dan untuk rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998.
Victoria dilaporkan menarik diri sebagai tuan rumah bagi edisi ke-23 itu atas alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).
Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta (RM1.18 bilion) kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac, 2026.
Daripada 74 negara dan wilayah yang menjadi ahli Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) hanya England, Kanada, Australia, Wales, New Zealand, Jamaica, Scotland, India dan Malaysia pernah menganjurkan temasya itu.


































