PETALING JAYA: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mara ke pusingan kedua selepas mengetepikan wakil Taiwan, Su Li Yang pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di St. Jakobshalle, Basel, Switzerland, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, pemain No. 10 dunia itu meraih kemenangan straight set ke atas Li Yang yang menghuni ranking ke-30 dunia 21-19, 21-12 dalam masa 42 minit.
Pada pusingan kedua, esok, anak kelahiran Kedah itu bakal berdepan pemain No. 27 dunia, Srikanth Kidambi dari India.
Zii Jia terkandas di suku akhir All England, minggu lalu, setelah tewas kepada rakan senegara Srikanth, Lakshya Sen dan dia berpeluang bertemu pemain muda India itu jika melepasi pusingan kedua.
Lakshya mara ke pusingan kedua selepas menundukkan seorang lagi wakil Malaysia, Leong Jun Hao 21-19, 15-21, 21-11.
Jika melepasi halangan peringkat 16 terbaik, maka, Lakshya yang kini berada di tangga ke-13 dunia sekali lagi perlu berdepan Zii Jia di suku akhir.
































