Ramli Mohamed Yoosuf
PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan kewujudan satu skim penipuan pelaburan menggunakan nama Petronas Chemicals Group bagi memperdaya orang ramai.
Skim penipuan ini dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman selepas satu laporan polis diterima daripada mangsa melibatkan kerugian RM1,500.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, skim penipuan yang sedang bergerak aktif ini menawarkan skim pelaburan melalui aplikasi Telegram dan Facebook.
Kata beliau, siasatan yang dijalankan mendapati skim ini menawarkan keuntungan yang tinggi hanya dalam tempoh tiga jam selepas pelaburan dibuat.
“Sebanyak empat pakej pelaburan ditawarkan iaitu pakej basic dengan deposit RM550 hingga RM 2,000 dan keuntungan RM15,000 hingga RM60,000.
“Skim ini juga menawarkan pakej silver iaitu deposit RM3,000 hingga RM5,000 dengan keuntungan RM90,000 hingga RM150,000 dan pakej Gold (deposit RM7,000 hingga RM9,000 dan keuntungan RM210,000 hingga RM270,000),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Ramli, skim pelaburan ini juga menawarkan pakej VVIP iaitu deposit RM10,000 dan keuntungan RM300,000.
Ramli memberitahu, sindiket ini turut menggunakam logo Petronas Chemicals dipercayai untuk mengelirukan mangsa.
“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. PDRM tidak menolak kemungkinan ramai lagi individu telah menjadi mangsa kepada skim penipuan ini,” jelasnya.
Justeru itu, Ramli berkata, PDRM tidak menolak kemungkinan ramai lagi individu telah menjadi mangsa kepada penipuan ini.
“Mangsa-mangsa yang terlibat adalah dinasihatkan untuk membuat laporan polis di balai polis berhampiran agar siasatan lanjut dapat dilakukan,” ujarnya.
Dalam usaha untuk membanteras kegiatan penipuan pelaburan, Ramli mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.
“Dapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti portal semakmule CCID, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti melalui platform investment checker sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan,” katanya.
































