Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyangkal dakwaan Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Suhaimi Nasir bahawa rakyat Sabah tidak tahu status Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurut beliau, Suhaimi dan pembangkang sepatutnya melakukan sedikit kajian dan bacaan maklumat tersedia untuk umum sebelum melontarkan kenyataan yang tidak berasas megenai SMJ.
Katanya, cara termudah untuk mengakses maklumat berkenaan SMJ adalah melalui laman web rasmi https://smj.sabah.gov.my/
Memberi response kepada kenyataan Suhaimi yang menyatakan rakyat tertanya-tanya akan status Pelan Pembangunan SMJ yang dilancarkan sejak 2021, Nizam berkata, Kerajaan telah menghebahkan maklumat berkaitan kejayaan SMJ melalui wakil-wakil rakyat dan kementerian-kementerian.
“Selain itu, hebahan maklumat turut dilakukan menerusi agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, Unit Pembangunan dan Pemimpin Masyarakat (UPPM), pejabat wakil rakyat dan unit media kelolaan Kerajaan, termasuklah media digital.
“Cara termudah untuk mengakses maklumat berkenaan SMJ adalah melalui laman web rasmi: https://smj.sabah.gov.my/
“Rangkuman pencapaian SMJ meliputi hala tuju kemajuan pelan pembangunan 2021-2025 itu, termasuklah pencapaian dan keberhasilan menyelesaikan kemudahan asas terutama berkaitan bekalan air dan tenaga elektrik. Bagi hal berkaitan jalan raya, sudah tentu ia berkaitan proses menyiapkan Pan Borneo Highway, sementara projek berkaitan jalan-jalan yang di luar Pan Borneo Highway, kebanyakannya sedang berada pada fasa pembinaan.
“Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Kerajaan juga telah menjawab perihal berkaitan status projek-projek kerajaan melalui jawapan secara lisan atau bertulis.
“Seandainya Suhaimi selaku Ahli Parlimen Libaran dan ADUN Dilantik meluangkan masa mengikuti maklumat yang diberikan melalui medium yang saya telah nyatakan, sudah tentu beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan tersebut. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan maklumat penting dan wakil rakyat seperti Suhaimi mempunyai tanggungjawab untuk mencari maklumat sebelum mengeluarkan kenyataan,” kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu dalam kenyataan hari ini.
Nizam berkata, untuk pengetahuan Suhaimi, Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk menurunkan kadar miskin tegar di Sabah menjelang penghujung tahun ini dan antara usaha yang sedang berjalan adalah memberi bantuan modal perniagaan, menyediakan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya dan memberi peluang pekerjaan untuk anak-anak miskin tegar di Sabah.
“Kelompok miskin tegar dalam sistem e-Kasih adalah golongan sasar yang akan dibantu,” katanya.
Tambahnya, selain membasmi kemiskinan, Kerajaan Negeri juga telah melancarkan Sabah Energy Roadmap & Master Plan 2040 pada bulan September 2023.
“Usaha ini untuk Kerajaan beralih daripada kebergantungan kepada sumber tenaga tidak boleh diperbaharuhi kepada rangkaian sungai di Sabah. Hidroelektrik adalah kunci kepada aspirasi tenaga boleh diperperbaharui di Sabah. Pada tahun 2022, kapasiti hidro di Sabah ialah 102MW, memberi sumbangan hanya 4 peratus kepada penghasilan tenaga campuran di Sabah.
“Untuk meningkatkan kapasiti hidro di Sabah, pembinaan Projek Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom bernilai RM4bilion dengan kapasiti 187.5MW dilaksanakan, dan projek ini dijangka siap pada tahun 2029. Selain menyumbang tenaga, ia juga berpotensi menyumbang bekalan air sebanyak 6000MLD.”
Nizam berkata, untuk menstabilkan bekalan air, Kerajaan telah meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air Telibong 1 dan 2 sebanyak 130 sehingga 180 MLD dan mampu membekalkan air di kawasan Kota Kinabalu Utara, Tuaran, KKIP dan UMS.
Kerajaan turut meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air Kogopon di Papar kepada 80 MLD untuk kawasan Papar, Kimanis dan sehingga ke Selatan Kota Kinabalu. Projek ini telah bermula lima bulan lepas dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, tambahnya.
“Apa yang saya sebutkan ini adalah sebahagian daripada kejayaan-kejayaan Pelan Pembangunan SMJ. Semua maklumat ini adalah maklumat umum yang boleh diakses melalui platform yang saya sebutkan, terutamanya laman web rasmi SMJ.
“Saya berharap selepas ini Suhaimi dan pasukan pembangkang akan melakukan sedikit kajian dan bacaan sebelum melontarkan kenyataan yang tidak berasas,” katanya.
































