Jamaluddin Yusuf menunjukkan kesan terbakar pada baju anaknya, Muhammad Akil Mustakeem yang disambar api ketika melihat dua rakannya menyiapkan meriam buatan sendiri di Paya Nahu di Sungai Petani, Kedah.
SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dipercayai menjadi mangsa pertama letupan meriam buatan sendiri pada sambutan Ramadan kali ini selepas melecur di bahagian kiri badan akibat disambar api di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu 2, di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian pada pukul 4 petang itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Akil Mustakeem Jamaluddin berada berdekatan dua rakannya yang sedang menyiapkan meriam diperbuat daripada tin susu di pekarangan Blok A4 PPR itu.
Katanya, ketika kejadian, dia memerhatikan dua rakannya berusia lapan dan 10 tahun menebuk tin susu dan mencantumnya menjadi meriam buatan sendiri sebelum melihat mereka memasukkan karbaid serta minyak petrol ke dalamnya.
“Ketika salah seorang daripada kawan saya cuba menyalakan api untuk meletupkannya tiba-tiba berlaku percikan bunga api yang kemudian menyambar badan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.
Kata anak sulung daripada tiga beradik itu, api mudah menyambar kerana dia memakai baju daripada fabrik jenis nilon.
“Dalam usaha memadam api di bahagian kiri badan, saya berguling-guling atas tanah sebelum beberapa orang lelaki membantu dengan menyimbah air.
“Tidak lama kemudian bapa datang dan membawa saya mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim,” ujarnya.
Sementara itu, bapa mangsa, Jamaluddin Yusuf, 37, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di rumahnya di tingkat dua blok A4.
“Saya terkejut dengar jeritan meminta tolong sebelum bergegas ke tempat kejadian yang terletak tidak jauh dari rumah,” katanya.




























