Seorang jururawat menjaga bayi baru lahir di sebuah hospital di Fuyang, China.
HONG KONG: Banyak hospital di China berhenti menawarkan rawatan bersalin dan perkhidmatan bayi baru lahir tahun ini dengan pakar industri memberi amaran tentang ‘musim sejuk obstetrik’ berikutan penurunan rekod kelahiran baharu.
Sejak dua bulan lalu, hospital di pelbagai wilayah termasuk di timur Zhejiang dan selatan Jiangxi mengumumkan akan menutup jabatan obstetrik mereka.
Menurut Utusan Malaysia, Hospital Rakyat Kelima Kota Ganzhou di Jiangxi menerusi akaun WeChat rasminya memaklumkan perkhidmatan obstetrik digantung sejak 11 Mac lalu.
Perkara sama turut dilakukan Hospital Perubatan Tradisional Jiangshan Zhejiang yang mengumumkan wad obstetriknya sudah berhenti menerima pesakit mulai 1 Februari lalu.
Data terkini daripada Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China menunjukkan bilangan hospital bersalin menurun kepada 793 pada 2021 daripada 807 pada 2020.
Media tempatan termasuk Daily Economic Newsberkata, jumlah bayi baru lahir yang merudum menyebabkan banyak hospital tidak dapat meneruskan operasi jabatan obstetrik mereka.
“Musim sejuk obstetrik’ nampaknya akan datang secara senyap,” lapor akhbar itu Jumaat lalu.
Penutupan itu berlaku ketika pembuat dasar China bergelut mencari cara meningkatkan keinginan pasangan muda untuk mempunyai anak dalam menghadapi demografi masyarakat yang semakin tua di negara itu.
Jumlah penduduk China menurun untuk tahun kedua berturut-turut pada 2023 apabila kadar kelahiran yang rendah dan kematian tinggi akibat Covid-19 mempercepatkan kemerosotan populasi, sekali gus memberi kesan jangka panjang terhadap potensi pertumbuhan ekonomi.
Ramai wanita di China memilih untuk tidak mempunyai anak kerana kos penjagaan yang tinggi, keengganan untuk berkahwin atau mengutamakan kerjaya mereka dalam masyarakat tradisional di mana diskriminasi jantina masih berleluasa.
Pihak berkuasa cuba melancarkan insentif dan langkah meningkatkan kadar kelahiran, termasuk memperluaskan cuti bersalin, faedah kewangan untuk mempunyai anak dan subsidi perumahan.




























