Pemain Harimau Malaya menjalani latihan sebagai persediaan untuk menentang Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.-Ihsan FAM
PETALING JAYA: Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue mengakui meraih mata dalam aksi menentang Oman adalah misi penting yang digalas oleh setiap pemain Harimau Malaya.
Menurut Utusan Malaysia, Paulo menjelaskan, dua aksi berdepan Oman di Muscat dan Bukit Jalil pada 22 dan 26 Mac ini sangat penting dalam usaha skuad kebangsaan melakar satu lagi sejarah gemilang bola sepak negara.
Katanya, jika enam mata maksimum mampu diraih, anak buah Kim Pan Gon bakal sekali lagi berdepan pasukan Gergasi Asia di pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara merit ke Piala Asia 2027.
“Aksi menentang Oman amat penting bagi Malaysia kerana jika kita raih tiga mata (di Muscat), kita hampir selangkah ke peringkat seterusnya dalam kelayakan Piala Dunia.
“Jika mereka datang ke sini (di Stadium Nasional Bukit Jalil) dan kita sekali lagi berjaya menang, kita akan layak ke peringkat seterusnya.
“Apabila layak (pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026) kita akan bertemu lagi dengan pasukan kuat di Asia seperti Korea, Jepun dan lain-lain.
“Jadi itu penting buat Malaysia melakar sejarah ke peringkat seterusnya dan terus berada dalam kejohanan ini untuk bermain dalam aksi yang sukar,” kata pemain kelahiran Brazil itu.
Ketika ini, skuad negara memimpin carta Kumpulan D dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan mengumpul enam mata daripada dua aksi dilalui.
Selain dua perlawanan dengan Oman, Malaysia akan sekali lagi turun menentang Taiwan dan Kyrgyzstan yang dijadual berlangsung pada Jun ini sebelum boleh mengintai slot ke pusingan ketiga kelayakan, di mana dua pasukan terbaik akan meraih slot itu.
Untuk rekod, skuad Harimau Malaya tidak pernah melepasi pusingan ketiga atau lebih tepat pusingan terakhir zon Asia ke Piala Dunia sejak menyertai kelayakan itu pada 1958 hingga kini, dengan pencapaian paling jauh hanyalah pusingan kedua kelayakan Asia.
Tambah Josue, skuad negara sebenarnya mampu mengulangi corak permainan tersusun dan bertenaga seperti mana ketika mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Piala Asia di Qatar, Januari lalu.
“Kita harus sentiasa bersedia dan berikan 100 peratus untuk pasukan sebegitu seperti apa yang kita lakukan ketika menentang Korea Selatan dalam Piala Asia tempoh hari.
“Saya rasa ini peluang terbaik untuk buktikan kemampuan Malaysia namun kita harus dapatkan keputusan positif terlebih dahulu (menentang Oman) untuk menentang pasukan-pasukan hebat yang lain,” jelasnya.


































