Steven Sim Chee Keong berucap sempena pelancaran Majlis Geran Padanan Latihan Industri Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LIKES) di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) hari ini.
PETALING JAYA: Penetapan kadar gaji minimum untuk golongan siswazah masih di peringkat awal perbincangan dan kajian.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya belum dapat memuktamad keputusan berhubung cadangan pelaksanaan gaji minimum siswazah sebelum kementerian-kementerian lain memberi input berhubung perkara itu.
“Perkara ini masih berada dalam perbincangan di peringkat awal, jadi, kementerian kena melihat juga apa yang diketengahkan kementerian lain sebelum saya membuat perkembangan seterusnya,” katanya ringkas dalam sidang akhbar selepas melancarkan Majlis Geran Padanan Latihan Industri Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LIKES) di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), hari ini.
Beliau ditanya jika kerajaan merancang melaksanakan gaji minimum siswazah yang berbeza daripada gaji minimum sedia ada.
Ini susulan pakar akademik dilaporkan berpandangan supaya kerajaan memulakan langkah itu kerana tiada garis panduan berhubung penetapan gaji minimum siswazah peringkat ijazah sarjana muda.
Keadaan itu mendorong pihak tertentu menggunakan peluang membayar gaji siswazah dengan jumlah gaji terlalu rendah.
Penetapan kadar gaji tersebut untuk golongan siswazah dilihat sebagai langkah yang boleh menyelesaikan masalah gaji kecil dan pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan.
Pada 11 Mac lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mahu majikan menetapkan kadar gaji minimum sekurang-kurangnya RM3,000 bagi peringkat permulaan mengikut kepada bidang yang sepadan dan kelayakan graduan.




























