Lapan murid SK Tebing Rebak bersama guru pada hari pertama sesi persekolahan di Bagan Datuk hari ini.
BAGAN DATUK: Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Rebak, Sungai Sumun di sini hanya menerima dua murid Tahun 1 yang mendaftar untuk sesi persekolahan tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, dua murid Tahun Satu itu yang mendaftar tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan murid di sekolah itu seramai lapan orang.
Lain-lain ialah seorang murid Tahun 2, dua murid Tahun 3 dan masing-masing seorang murid Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6.
Dua murid Tahun 1 berkenaan ialah Ashman Hazeeq Mohamed Redzwan dan Mohamad Haziq Haikal Mohamad Hilmi, masing-masing berusia 7 tahun dari Kampung Tebing Rebak.
Guru Besar SK Tebing Rebak, Zaiton Hashim berkata, bilangan murid yang sedikit di sekolah itu bukan keadaan yang luar biasa.
Menurutnya, ini kerana tahun lalu sekolah itu hanya seorang sahaja murid yang mendaftar di Tahun Satu.
“Setiap tahun inilah situasinya tiada pertambahan yang ketara dari segi bilangan murid.
“Tahun lepas, jumlah keseluruhan murid juga lapan murid, tahun ini bilangannya kekal.
“Ini kerana dua murid Tahun Enam yang tamat persekolahan kini diganti dengan dua murid Tahun 1 yang memulakan persekolahan hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Katanya, sekolah itu mempunyai enam guru dan lima kakitangan sokongan.
Jelas beliau, walaupun dikategorikan luar bandar, murid SK Tebing Rebak dilengkapi kemudahan pembelajaran yang lengkap termasuk komputer riba setiap seorang.
Menurutnya, sesi pembelajaran dijalankan seperti biasa dan mengikut jadual persekolahan yang ditetapkan.
“Sebagai guru, menjadi tanggungjawab kami memastikan murid dapat belajar seperti sekolah lain,” katanya.
Mengenai sejarah sekolah itu, Zainon berkata, ia dibina sekitar 1954 dan terletak lebih 20 kilometer dari pekan Bagan Datuk.
Menurutnya, kekurangan murid di sekolah itu disebabkan kebanyakkan generasi muda berhijrah ke bandar kerana bekerja.
Beliau berkata, bilangan murid yang sedikit menyebabkan hubungan antara guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti kampung itu akrab.
“Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini dianggotai empat penjaga sahaja, semuanya kalangan ibu bapa kepada lapan pelajar ini,” katanya.


































