PETALING JAYA: Mayat seorang lelaki ditemukan tersangkut pada tiang paip air di Sungai Klang berhampiran Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Jalan PJS 5/1, Sungai Way di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 9.01 pagi itu, satu panggilan kecemasan diterima Pusat Kawalan Daerah Petaling Jaya daripada orang awam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, mayat mangsa ditemukan lengkap berpakaian baju T warna biru dan seluar jeans biru tanpa kasut.
“Selain itu, mangsa juga memakai tali pinggang hitam serta jam tangan hitam pada tangan kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan lanjut mendapati individu berkenaan dipercayai lelaki tempatan.
Wan Azlan berkata, pemeriksaan dilakukan pada tubuh badan lelaki berkenaan tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri.
“Hasil pemeriksaan lanjut dilakukan pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengesahkan terdapat kecederaan luka pada dahi, kedua-dua tangan serta lebam pada rusuk kiri selain lidahnya terjelir.
“Tiada sebarang senjata ditemui berhampiran lokasi kejadian. Setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang di talian 03-78637100 bagi membantu siasatan.
































