KALABAKAN: Mayat lelaki berusia 57 tahun yang dilaporkan dibaham buaya di sini kelmarin telah ditemukan hari ini.
Mangsa dikatakan sedang menjalankan aktiviti menangkap lokan bersama dua orang ahli keluarganya di ulu sungai Kalabakan apabila kejadian itu berlaku petang kelmarin.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, mayat mangsa ditemukan oleh penduduk kampung di ulu sungai Kalabakan pada jam 4.30 pagi dengan jarak 500 meter dari tempat dilaporkan hilang.
Katanya, operasi pencarian menggunakan tiga buah bot orang kampung di sepanjang ulu sungai Kalabakan.
Mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tawau oleh polis sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi, katanya, sambil menambah tiada operasi dilakukan dan pasukan bomba yang hanya mengambil maklumat di lokasi kejadian.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 10.45 pagi tadi.
































