Skuad Harimau Malaya menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, kelmarin. Kim Pan Gon (kiri) turut menyertai latihan bersama anak-anak buahnya.
PETALING JAYA: Selepas berehat melebihi tempoh sebulan apabila berakhir kempen Malaysia di Piala Asia 2023 Qatar pada 25 Januari, pertemuan semula Kim Pan Gon dengan anak-anak buahnya menimbulkan kebimbangan.
Menurut Utusan Malaysia, jurulatih dari Korea Selatan itu mengakui bahawa pasukannya mungkin berdepan situasi sukar pada aksi menentang Oman dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 22 dan 26 Mac ini.
Ditambah dengan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini belum lagi bermula dan sebahagian besar pemain tidak mencapai ‘match fitness’ dalam aksi kompetitif, ia memberi cabaran besar kepada barisan kejurulatihan Harimau Malaya untuk mengembalikan momentum pasukan.
Reputasi yang dimiliki Oman di kedudukan 80 dunia berbanding Malaysia di tangga 132, turut memberi ujian besar buat kem skuad kebangsaan, selain bermain dalam bulan Ramadan.
Menyedari situasi itu, panggilan kem latihan awal menjadi antara langkah perlu dilaksanakan dan Pan Gon berterima kasih kepada kelab-kelab yang sudi melepaskan pemain lebih awal untuk menyertai latihan pusat walaupun kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi aksi kelayakan itu hanya bermula pada 18 hingga 26 Mac ini.
“Situasi tidak bagus, seperti kita tahu liga berhenti sejak Disember dan (musim baharu) akan bermula Mei. Jadi ia membuatkan kami dalam kesukaran, pemain harus bermain, setiap minggu harus beraksi.
“Kami memiliki perlawanan yang penting pada Mac (bulan ini) iaitu kelayakan Piala Dunia, tetapi kita tiada saingan liga. Selepas Piala Asia hingga sekarang, tiada perlawanan dan beberapa kelab belum mula lagi pra musim.
“Jadi apa maksudnya? Secara fizikal dan tahap kecergasan dalam perlawanan kita kurang, aksi tempat lawan dengan masa berbeza dan berlangsung pada Ramadan. Kami sukar untuk menemui perkara positif sekarang, tetapi ini situasi yang kami perlu hadapi,” katanya.
Begitupun, Pan Gon tidak dapat mengumpulkan kesemua 33 pemain dipanggilnya kerana Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat keputusan dengan hanya melepaskan pemain-pemainnya pada 15 Mac depan, apabila mengambil kira kalendar FIFA.
Berdasarkan situasi dihadapi skuad negara dan cabaran besar menentang Oman, ia memberi bayangan bahawa penyokong Harimau Malaya tidak boleh meletakkan harapan terlampau tinggi.
“Apabila berdepan pasukan kelompok 80 dunia, ia tahap berbeza yang perlu dihadapi dan ini kejohanan yang menarik untuk bersaing dengan pasukan 80 dunia.
“Kami perlukan motivasi, tetapi selain itu kami juga perlu bijak. Jika kita terlalu menekan pemain, ia boleh mendatangkan kecederaan dan kalau tidak terlalu menekan, kita akan kurang dari segi kecergasan.
“Jadinya, kami perlu bijak dan perancangan terbaik diperlukan dalam mempersiapkan pasukan bagi menghadapi dua perlawanan itu,” katanya.
































