PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki dipercayai melakukan amang seksual terhadap budak asuhan yang dijaga isterinya di Pandan Indah, Ampang dekat sini, Isnin lalu.
Suspek berusia 55 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira pukul 10.50 malam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, polis menerima laporan daripada ibu kanak-kanak berusia lima tahun pada 29 Februari lalu selepas bertanya kepada anak sulungnya mengenai kejadian yang berlaku di rumah pengasuh.
Menurutnya, seorang lagi anak perempuan kedua wanita itu kemudian memberitahu bahawa suspek ada melakukan amang seksual terhadap mangsa.
Katanya, suspek yang juga suami pengasuh mencium pipi dan mencabul anaknya.
“Ibu mangsa ada menerima mesej daripada pengasuh memberitahu suaminya itu tidak melakukan perkara terbabit.
“Pengasuh itu meminta dia merahsiakannya kerana mempunyai anak asuhan yang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nazruel Ekhram berkata, polis menahan suspek di Jalan Pandan Indah 22 dekat sini pada 10.50 malam, Isnin lalu.
Jelasnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah.
“Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.
“Suspek direman seminggu bermula Selasa lalu hingga 11 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
































