Mila Sharmilah Samsusah
BATU PAHAT: Berita penemuan sebahagian rangka dipercayai milik arwah Mila Sharmilah Samsusah atau Bella yang dikatakan mati dibunuh pada 14 Disember tahun lalu diterima dengan penuh kesyukuran oleh keluarganya.
Menurut Utusan Malaysia, kakak Arwah, Norhisham, 37, berkata, berita penemuan berhampiran rumah terbengkalai di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7 di Jalan Tongkang Pechah dimaklumkan oleh polis semalam.
Bagaimana pun, katanya, 90 peratus daripada rangka manusia yang ditemui itu perlu masih menunggu keputusan pihak forensik mengesahkannya adakah ia milik ibu tunggal beranak dua itu.
“Tiada kata-kata boleh diungkapkan kecuali dengan ucapan syukur kepada Allah kerana memberikan petunjuk dan berharap semua rangka milik arwah dapat ditemui.
“Sebanyak 90 peratus rangka itu dipercayai milik Bella, mohon doakan agar anggota lain turut dapat ditemui,” katanya susulan daripada sebahagian rangka manusia berhampiran lokasi penemuan rangka manusia tidak sempurna pada 19 Januari lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, penemuan rangka itu selepas menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 11.30 pagi pada 28 Februari baru-baru ini.
Ujarnya, hasil pemeriksaan telah menjumpai dua ketul tulang dipercayai tulang bahagian paha, dua ketul tulang bahagian betis dan dua ketul tulang bahagian keting di lokasi tersebut.
“Semua tulang yang dijumpai telah dihantar ke Jabatan Kimia Johor pada 29 Februari untuk dianalisa perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA).
“Pihak polis masih menunggu keputusan laporan analisa dari Jabatan Kimia Johor dan dijangka proses analisa Kimia mengambil tempoh lebih kurang sebulan,” katanya.
Pada 26 Januari lalu iaitu dua hari selepas pengebumian Bella, kakaknya mendedahkan mereka sekeluarga menitiskan air mata apabila mendapati jasad adik tersayangnya tanpa kedua-dua tangan dan kaki.
Kejadian itu disedari ketika Norhisham dan ibunya, Noraini Salleh, 55, memandikan rangka tidak sempurna itu di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan milik Bella.
Norisham memberitahu, tengkorak adiknya pecah disyaki dihentak objek tumpul, selain hanya tinggal sebahagian anggota hingga paras pinggul.
Susulan itu, keluarga arwah Bella memaklumkan mereka sudah membuat surat permohonan kepada polis untuk mencari sebahagian rangka yang belum ditemui itu.
Pada 19 Januari lalu, penemuan rangka manusia tidak sempurna di dalam sebuah rumah terbiar di Tongkang Pechah di sini, merungkai misteri kehilangan Bella sejak 14 Disember tahun lalu.
Ibu tunggal kepada dua anak, Eusof Abdul Fatah, 4, dan Maream Isabel, 2, itu dilaporkan hilang selepas keluar bersama teman lelakinya.































