Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diseru agar melihat semula kesesuaian pelaksanaan polisi bersasar harga petrol dan diesel di Sabah bagi mengawal kenaikan kos sara hidup rditanggung rakyat di negeri ini.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang membuat seruan ini berkata, Kerajaan hendaklah mengambil kira bahawa sebarang kenaikan harga diesel dan petrol akan sekaligus menambah kenaikan kos sara hidup rakyat di Sabah.
Katanya, pelaksanaan polisi subsidi petrol dan diesel bersasar sudah tentu menjimatkan wang rakyat namun Kerajaan hendaklah turut memahami bahawa contohnya di Sabah, keperluan kenderaan jenis pacuan empat roda adalah sesuatu yang diperlukan di negeri ini disebabkan permukaan muka bumi yang berbukit bukau serta keadaan jalan raya yang masih banyak dalam keadaan kurang baik.
“Kenderaan pacuan empat roda diperlukan bagi pergerakan rakyat Sabah, di mana ianya digunakan untuk mengangkut hasil-hasil komoditi, pertanian, barangan keperluan harian serta sebagai kenderaan harian untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan bekerja terutama sekali di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.
“Dalam hal ini, Kerajaan hendaklah mengambil kira bahawa sebarang kenaikan harga diesel dan petrol akan sekaligus menambah kenaikan kos sara hidup rakyat di Sabah. Maka atas alasan untuk mengawal kenaikan kos sara hidup di Sabah, saya menyeru agar polisi bersasar harga petrol dan diesel di Sabah dilihat semula kesesuaiannya mengikut keadaan di negeri ini,” katanya ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, Isnin lalu.
Isu MA63
Terdahulu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah III berkata, rakyat Sabah amat mengharapkan agar komitmen Kerajaan Persekutuan melalui Kerajaan Perpaduan yang ada pada masa sekarang akan dapat memuktamadkan perkara berhubung isu pemberian khas kepada Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada penggal pemerintahan kali ini.
“Kami, rakyat Sabah mengambil maklum bahawa pelaksanaan MA63 seperti yang disentuh oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dalam Titah Ucapan Baginda, telah pun sebahagian besarnya dilaksanakan. Maka kami rakyat Sabah ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan di atas usaha ini. Sebagai contoh, yang terbaru ialah tertubuhnya Suruhanjaya Tenaga Sabah hasil daripada perundingan perjanjian MA63. Namun demikian, kami rakyat Sabah masih ternanti-nanti akan pelaksanaan sepenuhnya MA63 ini. Masih ada lagi perkara-perkara yang perlu dirunding bersama dan mendapat persetujuan bersama untuk menunaikan perjanjian ini secara total.
“Antara yang masih lagi belum dilaksanakan sepenuhnya ialah Perkara 112C berhubung dengan pemberian khas dan penyerahan hasil kepada Sabah. Untuk rekod, di bawah Kerajaan Perpaduan kini, bayaran interim khas Sabah telah ditingkatkan kepada RM300 juta bermula tahun 2023 sementara memuktamadkan kaedah terbaik untuk formula dua per lima atau 40 peratus di bawah Perkara 112C.
“Dengan adanya pemberian khas ini, maka Kerajaan Negeri Sabah akan mempunyai lebih kemampuan kewangan untuk memajukan pembangunan negeri seperti pembangunan infrastruktur dan juga industry,” katanya.
Di Sabah, jelasnya, keadaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik masih di tahap yang belum memuaskan.
“Malah dari sudut kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan raya termasuklah lampu-lampu jalan banyak yang masih memerlukan peruntukan tambahan.
“Perkara yang terjadi sekarang adalah jumlah peruntukan penyelenggaraan untuk jalan-jalan Persekutuan yang diberi tidak mencukupi sebagai mana jumlah yang dipohon. Ini menyebabkan situasi tunggakan (backlog) kepada kerja-kerja yang perlu diselenggara atau diperbaiki. Kesannya, bila terjadi banyak ‘backlog’, dari tahun ke tahun-tahun berikutnya, maka timbullah kerosakan-kerosokan yang turut bertambah sehingga menyebabkan keadaan jalan-jalan yang menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.,” katanya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah.
Birokrasi
Shahelmey yang juga ADUN Tanjung Keramat turut membangkitkan berkenaan birokrasi and pelaksanaan dasar-dasar yang sepatutnya bersesuaian dengan negeri-negeri, seperti yang disentuh oleh Yang di-iPertuan Agong dalam titahnya.
Beliau berkata, pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan memerlukan proses yang lancar, efisien dan telus bagi menggalakkan keberkesanan dan kejayaannya.
“Sekiranya timbul birokrasi yang menjadi penghalang atau cabaran kepada kelancaran sesuatu kerja, maka kesannya ialah pelaksanaan yang lambat, malah menimbulkan kerugian dari sudut kos dan masa. Ditambah lagi ketidak selesaan di kalangan masyarakat.
“Saya mengambil contoh dalam kelulusan pinjaman RM300 juta yang Perdana Menteri telah berikan kepada Sabah untuk melaksanakan lapan inisiatif segera bagi membantu mengurangkan isu gangguan bekalan air di kawasan Pantai Barat Sabah dan beberapa daerah di Sabah pada Jun tahun lalu.
“Pelaksanaan inisiatif tersebut sehingga hari ini belum dapat dilaksanakan sepenuhnya disebabkan oleh keputusan-keputusan di peringkat pengurusan yang pelbagai. Semoga perkara ini dapat diatasi dan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Pendidikan di Sabah
Shahelmey juga menyeru dan merayu kepada Kementerian Pendidikan agar melihat dengan kadar yang pantas usaha untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif, menyediakan rumah-rumah guru yang baik serta menyediakan bilik-bilik darjah yang mencukupi di Sabah khususnya di kawasan pedalaman.
Beliau berkata, pendidikan di Sabah masih dibelengu dengan keadaan prasarana yang masih kurang, sama ada sekolah daif ataupun rumah-rumah guru yang usang dan bilik-bilik darjah yang sesak.
“Sebagai contoh, yang dekat dengan saya iaitu di kawasan Parlimen Putatan juga masih terdapat sekolah yang sesak sehingga sekolah terpaksa mengadakan dua sesi pembelajaran sehari.
“Perkara ini menimbulkan kesulitan kepada ibu bapa yang terpaksa menghantar dua kali sehari anak-anak ke sekolah disebabkan mempunyai anak-anak yang belajar dalam dua sesi yang berasingan.
“Saya juga memohon kepada Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan Pejabat Pendidikan Daerah di Putatan memandangkan setelah Putatan mencapai status daerah penuh selama lebih sepuluh tahun, pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah masih dilakukan bersama dengan Penampang.”
Perumahan rakyat dan kemiskinan bandar
Shahelmey turut menyentuh tentang masalah perumahan rakyat dan kemiskinan bandar, di mana beliau berkata, di Sabah terutamanya Kota Kinabalu dan Putatan, kadar/kos hartanah saban tahun meningkat dengan tinggi sekali.
“Maka dengan itu kebolehan ataupun kemampuan rakyat khususnya golongan B40 dan juga sebahagian daripada golongan M40 khususnya golongan muda yang baru memulakan kerjaya, menghadapi cabaran untuk memiliki rumah.
“Maka saya sekali lagi menyeru kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk melihat sekali lagi permohonan Parlimen Putatan untuk disediakan pembinaan perumahan di bawah Program Perumahan Rakyat yang memang diperlukan kerana Putatan terletak berhampiran dengan Bandaraya Kota Kinabalu…kemiskinan bandar merupakan satu ancaman yang bakal terjadi sekiranya kita tidak merancang dari masa sekarang,” katanya.
Keperluan menaik taraf KKIA
Memandangkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) terletak di dalam Parlimen Putatan, Shahelmey memohon kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan untuk melihat langkah-langkah jangka pendek dan sederhana bagi meningkatkan keselesaan dan meleraikan kesesakan penumpang di Terminal 1, KKIA yang berlaku pada masa kini.
“Jumlah pengunjung/pelawat sama ada daripada luar negeri Sabah, destinasi antarabangsa semakin meningkat pada masa sekarang. Adalah wajar untuk KKIA dinaik taraf sebelum melihat perancangan jangka masa panjang untuk melihat potensi memindahkan KKIA ke kawasan lain pada masa hadapan,” katanya.
































