Upacara pemotongan kek oleh Dr. Maximus, Dr. Joachim bersama Timbalan-Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, semua Ahli Majlis Tertinggi dan Penasihat Perdana, Tan Sri Pairin sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun PBS yang ke-39.
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal wujud sebagai sebahagian tulang belakang perubahan positif dalam masyarakat Sabah selepas hampir empat dekad walaupun sering diuji dengan cabaran, kata Presidennya Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.
“Perjuangan PBS selama hampir empat dekad sangat luar biasa. Ini semua ini adalah hasil dedikasi, ketabahan dan semangat juang yang telah ditunjukkan oleh para pemimpin dan ahli selama ini.
“Bersama-sama, kita telah mencapai banyak kejayaan dan mengatasi berbagai cabaran, dan semoga kebersamaan ini terus diperkukuh, dan semangat perjuangan untuk kepentingan rakyat Sabah tetap membara.
“Ujian demi ujian, dalam perjalanan itu, beberapa pemimpin dan ahli kita tersasar dari landasan perjuangan PBS. Namun, saya amat berbangga dengan anda semua kerana walaupun berdepan dengan dugaan, kita tetap ketawa dan menangis bersama.

Setiausaha Agung merangkap Pengerusi Penganjur Majlis Sambutan Ulang Tahun PBS kali ke-39, Datuk Julita Majungki (dua dari kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Dr. Maximus sambil disaksikan oleh Penasihat Perdana Tan Sri Pairin (tiga dari kanan), Dr. Joachim (dua dari kanan) serta yang lain.
“Still, we must always be ready for any eventualities and we cannot take things for granted. Pencapaian yang kita kecapi kini tidak akan kekal jika kita tidak berusaha mempertahankannya. Janganlah kita berbangga dan merasa cukup dengan pencapaian parti kita pada masa kini kerana kita sudah tersasar jauh jika dibandingkan dengan pencapaian kita terdahulu.
“Perlu ditingkatkan lagi usaha, kerja keras, komitment tinggi dan bekerjasama dalam parti untuk menguatkan dan memperkasakan PBS agar kita boleh kembalikan kegemilangan kita (our glory),” katanya pada sambutan ulang tahun ke-39 PBS yang diadakan di Hakka Hall, di sini, pada Selasa. Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Perjuangan PBS
Dr. Maximus juga yakin pencapaian parti sekarang yang mempunyai tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen boleh diperbaiki jika mereka bekerja keras dari sekarang.
“Turun padang, santuni rakyat, dengar permasalahan mereka, dan perjuangkan hak negeri dan rakyat Sabah. Kepada YB-YB kita, saya yakin anda semua sedar bahawa title YB selain daripada bermaksud “YANG BERHORMAT” yang lebih diharapkan oleh rakyat ialah anda berperanan sebagai “YANG BERKHIDMAT”, dan kepada mereka yang mengimpikan title YB ini, janganlah terlalu taksub dengan kedudukan itu kerana ia adalah tanggungjawab yang amat berat, bukan tiket untuk anda bermegah,” katanya.
Beliau berpendapat cabaran terbesar PBS ialah untuk memastikan parti kekal relevan.
“Our biggest challenge ialah untuk memastikan PBS kekal relevan. Banyak parti-parti baharu timbul seperti cendawan selepas hujan, apa lagi bila musim pilihan raya tiba. Mereka timbul untuk mencuba nasib, dan ada sebahagian yang ditubuhkan untuk mengacau undi. Parti-parti lalat seperti ini tidak seharusnya diberikan peluang untuk memperjudikan sokongan rakyat.

Dr. Maximus (tengah), merakamkan gambar kenangan bersama Dr. Joachim (10 dari kanan), Timbalan-timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Ahli-ahli Majlis Tertinggi serta semua Penasihat Perdana dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun PBS kali ke -39.
“PBS bukan parti lalat. PBS telah bertapak di Sabah selama 39 tahun. Kita telah mengharungi onak politik selama hampir empat dekad. We are a mature political party, dan dengan pengalaman tersebut, berbekalkan kepimpinan dan ahli-ahli yang cekal, tahan lasak, berwawasan dan berintegriti, kita seharusnya mampu melakar masa depan Parti Bersatu Sabah.
“Our way forward is untuk memperkasakan lagi parti keramat kita ini dan juga golongan pemimpin muda PBS yang bakal mengambil alih tampuk kepimpinan atasan.”
Beliau berkata, perubahan generasi, modenisasi dan perkembangan sistem demokrasi telah memberi ruang kepada golongan muda untuk menjadi pemimpin.
“Pandangan yang beranggapan bahawa hanya persona yang lebih tua dan berusia sahaja yang lebih layak menjadi ketua kerana lebih berpengalaman, berwibawa dan lebih dulu makan garam adalah pandangan yang perlu dinilai semula dan diselaraskan mengikut keperluan dan perubahan semasa.
“Ini kerana, gelombang politik pasca era reformasi yang telah membuka ruang kepercayaan kepada anak muda yang berkelayakan untuk menjadi calon dan wakil rakyat, menunjukkan bahawa golongan pemimpin muda memiliki kekuatan mereka yang tersendiri. Tambahan lagi, mereka lebih memahami kehendak pengundi yang seumur dengan mereka.
“Tapi suka saya ingatkan kepada semua khususnya pemimpin muda bahawa tanggungjawab sebagai wakil rakyat goes beyond the title. Ia bukan tiket untuk menjaga kepentingan peribadi atau untuk mengagungkan diri sendiri. Apabila anda dipilih oleh pengundi, sebagai YB, ia adalah merupakan satu kepercayaan rakyat bahawa anda berupaya menjaga kebajikan mereka, berupaya mewakili suara dan aspirasi mereka di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.
“Harus diingat bahawa sebagai YB, anda juga adalah duta parti. Tindak tanduk anda akan sentiasa dinilai oleh rakyat dan penilaian rakyat menentukan sama ada perjuangan PBS akan terus relevan dan mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat,” tegasnya.
Beliau berkata, sebagai wakil rakyat juga, perkhidmatan mereka adalah untuk semua, sama ada penyokong parti pemerintah atau parti pembangkang.
Kejujuran dalam memikul tugas perlu menjadi teras perkhidmatan, katanya, sambil menambah rakyat dahagakan pemimpin dan kerajaan yang benar-benar berjiwa rakyat, bukan sekadar kata-kata, tetapi dalam perwatakan dan melaksanakan tugas serta amanah sebagai pemimpin.
“Oleh itu, bila terpilih sebagai YB, berusahalah untuk sentiasa memberikan perkhidmatan yang ikhlas, konsisten dan terbaik sepanjang masa,” katanya.
Perkembangan politik Sabah sangat aktif
Dr. Maximus berkata, pasca pilihan raya memperlihatkan perkembangan politik Sabah yang sangat aktif.
Antaranya, drama yang dibintangi pemimpin UMNO, keputusan beberapa pemimpin untuk meninggalkan bahtera Warisan, dan juga penubuhan parti tempatan Parti Gagasan Rakyat Sabah, selari dengan permintaan rakyat Sabah untuk menjadikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu gabungan semua parti tempatan.
“My take on all these is that apa pun yang berlaku, it is at the advantage of GRS. GRS semakin kukuh dan saya percaya, ini adalah gabungan yang terbaik untuk memerintah negeri Sabah yang kita cintai ini. Saya yakin dan percaya Kerajaan GRS adalah pilihan terbaik untuk memimpin rakyat dan memartabatkan lagi perjuangan politik kita.
“Kelulusan Akta Anti Lompat Parti pada sidang DUN lalu juga membantutkan keinginan ahli politik untuk ‘melompat’ ke parti yang menjanjikan gula-gula yang lebih manis. Namun, si katak mungkin akan menjadi lebih kreatif untuk berhijrah ke parti lain, kerana budaya lompat parti ini seakan sangat sinonim dengan negeri Sabah. Antara semua negeri, kita mungkin mempunyai bilangan ‘katak’ yang paling ramai. Ramai ingin membunuh ‘katak yang melompat’ tetapi kita harus semat dalam minda, katak bukan sahaja kuat melompat, tetapi ia juga mampu menyelam. Oleh itu, kita perlu think outside the box untuk menangani masalah ini sebelum ia berlaku.”
Perjuangan belum selesai
Dr. Maximus berkata, masih banyak yang perlu dipenuhi dalam perjuangan PBS.
“Perjuangan PBS belum selesai. Masih banyak tugas yang perlu dipenuhi. Tetapi PBS adalah parti yang mempunyai objektif yang kukuh dan konsisten serta gigih menyuarakan pendapat untuk kebaikan Sabah dan rakyat negeri ini.
“Pilihan Raya Umum terdahulu menjadi pengajaran kepada semua parti politik, dan PBS khususnya. Kita menyedari bahawa walaupun telah berkuasa selama beberapa dekad, ia tidak menjamin kemenangan mutlak sesebuah parti. PBS tidak boleh berpuas hati dengan sokongan sedia ada, budaya kerja keras, disiplin dan konsistensi adalah pilihan.
“Rakyat melihat, mereka menilai kita, dan mereka lebih kritikal berbanding sebelum ini. Kita diperhatikan oleh mereka setiap masa. We are under their watch at all times.
“Jadikanlah kesilapan lalu sebagai pembimbing kita untuk menjadi lebih baik dalam pilihan raya yang akan datang. Kita perlu bergerak sejajar dengan perkembangan semasa. Kita harus memberi tumpuan untuk meningkatkan semangat perjuangan kita, seperti mana kita berjuang pada tahun 1985. Kita juga perlu lebih kelihatan menarik di mata generasi muda so they feel welcomed. Kita tidak perlu takut kepada mereka. We should not feel threathened kerana mereka adalah our future, aset perjuangan kita,” katanya.
PBS adalah parti bermaruah, kata Dr. Maxiumus, sambil menambah, dalam politik, prinsip amat penting, maruah dan saling menghormati antara satu sama lain merapatkan kita semua.
“Perpaduan ini tidak akan pernah putus. Kita akan kekal BERSATU, bukan hanya untuk kebaikan PBS dan ahli-ahlinya, tetapi juga akar umbi yang percaya kepada kita, terutama rakyat.”
Dr. Maximus mengulangi pemimpin yang ada di PBS pada hari ini terhutang budi kepada mantan Presiden, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Katanya, sebagai Penasihat Perdana PBS, beliau terus memainkan peranan dalam membimbing kita semua, dan tidak boleh disangkal kemampuan PBS bertahan selama lebih tiga dekad adalah kerana daya kepimpinan dan kemahiran pentadbirannya yang baik, serta sokongan dan perjuangan dari semua ahli dan penyokong PBS.
“Apabila saya diamanahkan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan PBS dari Tan Sri Pairin, saya telah berjanji untuk meneruskan tugasan dan perjuangan beliau yang murni. Saya mahu memenuhi janji-janji saya, tetapi untuk melaksanakannya, saya memerlukan sokongan padu dan kerjasama daripada setiap individu dalam parti PBS. Ini bukan perjuangan saya seorang, mahupun kepimpinan Majlis Tertinggi. Setiap ahli PBS harus berkerja keras untuk kebaikan negeri Sabah dan rakyatnya, dengan semangat kebersamaan dan perpaduan.
“Marilah kita terus berusaha untuk mencapai kemajuan, keadilan, dan kesejahteraan bagi seluruh warga Sabah. Dengan tekad dan kerja keras kita, mari kita bina masa depan yang lebih baik untuk negeri ini. Selamat ulang tahun Parti Bersatu Sabah yang ke-39! Semoga perjalanan kita ke depan penuh dengan keberhasilan dan kejayaan. Teruslah bersatu, berjuang, dan berprestasi! Sentiasa ingat bahawa PBS ADALAH ANDA, DAN ANDA ADALAH PBS (PBS is YOU, YOU are PBS).
“SABAR, SETIA dan BERSATU – itu adalah motto kita untuk mencapai matlamat dan objektif PBS. Mari kita bersama-sama melaungkan ungkapan keramat parti kita:”


































