Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu pemimpin perniagaan dan eksekutif tertinggi daripada 18 syarikat Australia di Melbourne dalam lawatan rasminya ke Australia bermula hari ini, bagi menggalakkan mereka mengembangkan perniagaan dan pelaburan di Malaysia.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan satu dengan satu untuk mendengar pandangan mereka daripada sesi perbincangan meja bulat.
Eksekutif syarikat yang terlibat daripada sektor pembuatan, termasuk peranti perubatan dan logam, serta sektor perkhidmatan seperti pusat data, kewangan dan perdagangan.
Beliau menegaskan, Malaysia di bawah kepemimpinannya, melaksana dasar yang jelas dan berkesan yang menyumbang kepada tahap pelaburan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Kami memperkenal dasar baharu dengan jelas. Dan hasilnya, kami meraih pelaburan perdagangan domestik dan asing, yang tertinggi dalam sejarah (Malaysia),” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Pada bulan lalu, Anwar mengumumkan Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara, iaitu sebanyak RM329.5 bilion pada 2023, meningkat 23.0 peratus daripada 2022.
Daripada jumlah itu, pelaburan asing adalah penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.
Pada 2023, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Australia berjumlah AS$18.57 bilion (RM84.64 bilion), dengan Australia menjadi rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia.
Sehingga Disember tahun lalu, Australia mempunyai pelaburan diluluskan di Malaysia yang melibatkan 582 projek, dengan pelaburan yang direalisasikan sebanyak 366 projek.

































