Hajiji bersalam dengan ketua jabatan persekutuan pada Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2024.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus memastikan kehidupan rakyat Sabah terbela dengan usaha berterusan menyelesaikan isu berkaitan keperluan asas rakyat khususnya elektrik, air, perumahan dan lain-lain, kata Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, isu itu telah menghantui rakyat Sabah sejak sekian lama, tanpa menunding jari kepada mana-mana pihak, Kerajaan pimpinannya sejak September 2020 telah melaksanakan pelbagai ikhtiar bagi menjamin kehidupan rakyat yang lebih selesa.
“Kita telah melancarkan Sabah Energy Roadmap & Master Plan 2040 pada bulan September tahun lalu sebagai usaha beralih daripada sumber tenaga tidak boleh diperbaharui seperti gas asli dan bergantung kepada rangkaian sungai di Sabah.
“Permintaan bekalan tenaga elektrik yang semakin meningkat pada masa ini boleh diatasi dengan mempercepatkan pengeluaran hidroelektrik bagi memenuhi keperluan industri yang semakin pesat di negeri ini. Tenaga boleh diperbaharui seperti solar, biomas dan biogas akan melengkapkan lagi kapasiti penghasilan tenaga elektrik di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Hajiji berkata, Projek Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom yang dijangka siap pada 2029, akan memperluaskan aliran bekalan elektrik dengan menghubungkan rantau selatan dan tenggara Sabah sekali gus mencipta rangkaian tenaga yang lebih stabil.
Menurutnya, projek itu akan turut membantu menyelesaikan kekurangan bekalan air dalam tempoh masa panjang dengan penghasilan 6,000 juta liter air sehari. Projek itu juga akan menjadi “game changer” kepada negeri Sabah sekali gus menjamin kehidupan yang lebih baik dan sempurna pada masa akan datang.
Beliau berkata, bagi memastikan bekalan air menjadi lebih stabil, Kerajaan juga telah meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air Telibong 1 dan 2, sebanyak 130 juta liter air sehari hingga 160 juta liter air sehari yang mampu membekalkan air di kawasan Utara Kota Kinabalu termasuk di Tuaran, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
































