KUALA LUMPUR: Tahap kesihatan Datuk Azizulhasni Awang akan terus dipantau bagi memastikan jaguh berbasikal trek harapan negara itu berada di prestasi terbaik sehingga Olimpik Paris 2024.
Menurut Utusan Malaysia, Penyelaras Jawatankuasa Road To Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam berkata, pemantauan itu perlu dilakukan selepas ‘The Pocket Rocketman’ itu menjalani pembedahan jantung pada 2022.
Tahap kesihatan Azizulhasni berada dalam keadaan tidak menentu termasuk terpaksa menarik diri dalam perlumbaan penentuan pingat gangsa acara pecut idividu di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), bulan lalu.
Stuart berkata, Jawatankuasa RTG juga meluluskan lanjutan sokongan kepada Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk meneruskan latihan di luar negara sebagai persiapan untuk temasya Olimpik Paris nanti.
“Kedua-dua pelumba trek negara itu akan mengadakan dua kem latihan di Brisbane, Australia bermula 23 Mac hingga 12 April ini dan di Silverstone, United Kingdom dari 9 hingga 13 Jun ini.
“Bagi latihan pra Olimpik pula, Azizulhasni dan Shah Firdaus akan ke Mallorca, Sepanyol dari 13 Jun hingga 1 Ogos,” katanya.
Dalam perkembangan lain, stuart berkata, skuad badminton negara juga akan menjalani latihan di luar negara selama 10 hari dan menjadikan wilayah Aire Sur La Lyse, Perancis sebagai destinasi mereka bermula dari 10 hingga 20 Julai ini.
“Selain latihan 10 hari di Perancis, Jawatankuasa RTG turut meluluskan dua permintaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk adakan latihan di luar negara sebagai persiapan menghadapi dua kejohanan di China, iaitu Kejohanan Badminton Asia 2024 di Ningbo bermula 9 hingga 14 April dan Piala Thomas serta Uber di Chengdu bermula 28 April hingga 5 Mei.
“Kem latihan pertama sebelum BAC akan bermula 26 Mac hingga 6 April mankala latihan kedua sebelum Piala Thomas dan Uber dari 15 hingga 24 April,” katanya.


































