Kim Pan Gon perlu merangka strategi terbaik untuk berdepan Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
PETALING JAYA: Seramai 12 muka baharu dipanggil oleh jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon, bagi menyertai Kem Latihan Pusat Harimau Malaya sebagai persiapan menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Menurut Utusan Malaysia, menerusi senarai dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Pan Gon menyenaraikan 33 pemain dengan turut mengekalkan 21 daripada 26 pemain dari skuad Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lalu.
12 pemain baharu yang dipanggil kali ini ialah penjaga gol Suhaimi Husin, Azam Azmi Murad dan Safwan Mazlan (Terengganu FC); Sharul Nazeem Zulpakar, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi, Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, Ruventhiran dan Aliff Izwan Yuslan (Selangor FC); Haqimi Azim Rosli (Kuala Lumpur City FC) dan T. Saravanan dari Sri Pahang FC.
Bagaimanapun, sebahagian daripada pemain yang dipanggil dalam skuad kali ini akan melapor diri secara berperingkat sehingga 15 Mac ini.
Sejurus selepas kehadiran penuh pemain ke kem latihan itu, beberapa pemain yang berusia bawah 23 tahun akan dilepaskan ke kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan di bawah kendalian Juan Torres Garrido.
“Kita faham pasukan-pasukan kelab sedang menjalani latihan pramusim dan pada masa sama, Kalendar Perlawanan Antarabangsa pula hanya akan bermula dari 18 hingga 26 Mac 2024.
“Namun, kita tetap perlu melakukan persediaan awal bagi menghadapi dua perlawanan menentang Oman ini dan atas sebab itu saya memulakan kem latihan pusat pada 8 Mac dengan memanggil sama beberapa pemain dari skuad B-23.
“Selepas perbincangan dengan kelab-kelab terlibat, sebahagian pemain hanya akan melapor diri pada 15 Mac kerana saya faham yang mereka baru saja kembali dari bercuti dan baru memulakan latihan,” kata Pan Gon.
Harimau Malaya akan berdepan Oman pada 21 Mac di Sultan Qaboos Sports Complex, Muscat, sebelum kembali ke laman sendiri untuk pertarungan pusingan kedua menentang Oman di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Mac 2024.
































