Keadaan sebuah kapal layar yang separuh tenggelam berhampiran kawasan perairan E-Gate, Gelugor, Pulau Pinang.
GEORGE TOWN : Empat lelaki berdepan detik mencemaskan apabila bot yang mereka naiki hampir karam selepas generator di dalam bot tersebut dipercayai meletup dalam satu kejadian berhampiran Persiaran Karpal Singh, Jelutong, di sini hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, dua daripada mangsa cedera dengan salah seorang daripadanya mengalami kecederaan di bahagian kaki, manakala seorang lagi cedera di telinga dan tangan.
Sementara itu, dua lagi mangsa yang berada dalam bot tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 50-an itu merupakan warga tempatan yang dalam perjalanan ke Langkawi dan singgah sebentar untuk berehat di kawasan perairan Pulau Pinang.
Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, ketika pasukan bomba tiba di lokasi kejadian, bot tersebut dilihat sudah berada dalam keadaan separuh tenggelam.
“Bot ini didapati karam selepas generator di dalamnya telah meletup. Ketika bomba tiba juga, keempat-empat orang mangsa ini telah diselamatkan oleh nelayan dan mereka sedang mendapatkan rawatan di klinik berhampiran,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba yang berada di lokasi turut membantu pihak Maritim Malaysia Pulau Pinang (Maritim) untuk membuat pemantauan menyeluruh terhadap bot berkenaan bagi memastikan tiada lagi mangsa di dalam bot tersebut.
“Selepas itu, pasukan bomba bergerak ke Jabatan Laut Wilayah Utara bagi mendapatkan maklumat terperinci status pemilikan bot tersebut.
“Setelah semakan dilakukan, didapati pemilik bot tersebut ialah Rusdi Sulung dan operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.09 petang,” katanya.


































