Muhammad Syakirin Razaki (kiri) bersama Amir Izham bakal beraksi pada perlumbaan Rally Sprint X-One di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang Sabtu dan Ahad.
KUALA TERENGGANU: Pasukan profesional, East Coast Rallying menyasarkan kedudukan podium pada perlumbaan Rally Sprint X-One di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, Sabtu dan Ahad ini.
Menurut Utusan Malaysia, pemandu bagi pasukan rali itu, Muhammad Syakirin Razaki berkata, persediaan untuk penampilan kali ini tampak lebih meyakinkan berbanding tahun lalu apabila berada di kedudukan ke-10 keseluruhan.
Menurut Muhammad Syakirin, East Coast Rallying bakal mempertaruhkan jentera Honda Jazz GE serba baharu untuk saingan 2024 sambil dibantu jurupandu, Amir Izham sebagai pemandu kedua.
Jelasnya, pasukan itu telah mengatasi masalah teknikal pada jentera yang menjejaskan prestasi mereka tahun lalu sekaligus mencerahkan misi menamatkan kemarau podium sejak 2018.
“Tahun lalu kami terpaksa bergelut dengan masalah teknikal yang timbul seawal pusingan pertama perlumbaan sehingga menganggu perancangan rapi yang dibuat pasukan ini.
“Bagi saingan hujung minggu ini, East Coast Rallying optimis membaiki rekod catatan masa selain memburu kedudukan podium yang kali terakhir dikecapi pada Kejuaraan Rali Terengganu, enam tahun lalu.
“Cuma saya harap cuaca menyebelahi kami pada perlumbaan itu nanti yang mana memberikan cabaran tersendiri berlumba di atas permukaan berturap,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambah Muhammad Syakirin, pasukan yang berpengkalan di Kuala Terengganu itu juga meletakkan sasaran untuk menyertai enam perlumbaan rali tahun ini termasuk empat siri Kejuaraan Rali Antarabangsa Malaysia.
Ujarnya, East Coast Rallying bagaimanapun memberi fokus kepada perlumbaan Rally Sprint X-One terlebih dahulu yang turut disertai pasukan amatur dan profesional dari serata negara.
Rally Sprint X-One dijadualkan membuka tirai hujung minggu ini dengan lapan peringkat cabaran melibatkan jarak perlumbaan sejauh 24.4 kilometer dalam lapan kategori yang dipertandingkan.

































