Anggota polis berada di lokasi mayat yang ditemukan berhampiran laluan kereta api dekat Jalan Pelabuhan Utara di Klang, Selangor, pada Rabu lalu.
KLANG: Seorang lelaki yang tidak berbaju ditemukan maut akibat digilis kereta api di tepi landasan berdekatan sebuah kilang di Jalan Pelabuhan Utara di sini, Rabu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu, kira-kira pukul 11.35 pagi.
Menurutnya, panggilan itu dibuat seorang individu yang menemukan mayat seorang lelaki di lokasi tersebut.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai digilis kereta api sebelum meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa merupakan lelaki warga asing berusia 19 tahun yang ditemukan hanya berseluar panjang tanpa memakai baju,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Hoong Fong, pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian bawah paras kedua belah lutut.
“Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk bedah siasat. Tiada sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian setakat ini dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” ujarnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian supaya menyalurkannya kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan.


































