SEPANG: Dua lelaki yang terbabit dalam pergaduhan di Kampung Baru Dengkil di sini, 17 Februari lalu akan di tuduh di Mahkamah Majistret Sepang, pada Selasa depan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kedua-dua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam.
Beliau berkata, seorang daripada individu berkenaan adalah pengadu manakala, seorang lagi adalah individu yang mengeluarkan ugutan.
“Kedua-dua mereka akan dituduh mahkamah sama pada hari yang sama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dihukum penjara maksimum enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Wan Kamarul Azran berkata, 12 individu lain yang terbabit dalam insiden pergaduhan sama akan dijadikan saksi mahkamah.
Pada 17 Februari lalu, seramai 14 individu ditahan dalam lokap semalaman selepas terbabit dalam pergaduhan pada malam sambutan Pai Ti Kong sempena Tahun Baharu Cina.
Bagaimanapun, kesemua mereka dibebaskan pada petang Isnin lalu dengan jaminan polis.
Sebelum ini, seorang pemandu lori, Teo Chit Keong, 44, cedera akibat dibelasah 30 individu selepas menegur jirannya untuk mengalihkan kenderaan yang menghalang laluan.
Dalam kejadian pukul 10.15 malam itu, Chit Keong bukan sahaja dipukul menggunakan objek keras seperti batu-bata, topi keledar dan batang mop malah turut diugut bunuh dengan senapang.
Katanya, dia mengenali suspek yang mengeluarkan ugutan itu dan sememangnya tahu suspek mempunyai senapang berkenaan.


































