Sebahagian daripada tujuh tertuduh dibawa keluar selepas mengaku bersalah mencederakan tiga lelaki di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.
KUALA TERENGGANU: Tujuh pemain bola sepak amatur termasuk seorang penjawat awam didenda RM1,000 sehingga RM4,500 kerana mencederakan tiga lelaki ketika aksi Liga Bolasepak Terengganu (TFL), bulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ahmad Zaim Zahirulhaq Roslan, 24, Muhamad Supian Al Shaari, 29, Mohd. Zulkifli Abdullah, 36, Mohd. Hazwani Ab. Karim, 32, Tuan Faiz Hakimie Tuan Rosli, 29, Ahmad Najmie Adnan, 34, dan Wan Muhamad Aidid Ghazali, 22, turut berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Kesemua mereka didenda selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood dan Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri, hari ini.
Muhamad Supian didenda RM4,500 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan, Mohd. Zulkifli RM3,000 (dua pertuduhan) manakala yang lain RM1,500 dan penjawat awam, Ahmad Najmie, didenda RM1,000.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada tiga orang lelaki berusia 18, 19 dan 36 tahun.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu ketika satu perlawanan TFC menemukan NAG FC dan Kesa FC di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, kira-kira pukul 11 pagi, 12 Januari lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 KK.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad dan Nur Amalina Najwa Mohd. Ali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Nadzir Abdullah.
Media pada bulan lalu melaporkan insiden pergaduhan ketika aksi liga amatur itu yang tercetus apabila berlaku kekasaran dan disusuli provokasi serta ugut-mengugut ketika perlawanan tersebut.
Tertuduh dikatakan mencederakan mangsa dengan menghantuk menggunakan kepala, memukul, menumbuk dan memijak mangsa menyebabkan kecederaan di bahagian dada, bahu, kepala dan muka.
































