Kenderaan dinaiki mangsa yang hampir tenggelam setelah terbabas ke dalam Sungai Terus di Kampung Tandop Segantang Garam, Merbok.
MERBOK: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) nyaris lemas selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam Sungai Terus di Kampung Tandop Segantang Garam, di sini.
Mangsa, Liang Ah Kaw, 70, bagaimanapun sempat diselamatkan oleh tiga penduduk kampung yang melihat kejadian kira-kira pukul 12.30 tengahari tadi.
Lelaki yang kudung kaki kiri dan menggunakan kaki palsu itu turut diberikan rawatan awal sebelum dihantar mendapatkan rawatan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) oleh anggota bomba.
Saksi kejadian, Mohd. Fadzil Mahamud, 40, berkata, dia berada di rumahnya yang berdekatan sungai sebelum dipanggil rakannya untuk menyelamatkan pemandu Proton Iswara yang terjatuh ke dalam sungai.
“Saya terjun ke dalam sungai bersama dua lagi rakan, ketika itu kereta berkenaan hampir tenggelam manakala pemandunya didapati tidak sedarkan diri dan kami memotong tali pinggang keledar yang dipakainya,” katanya semasa ditemui di lokasi kejadian.
Kata Mohd. Fadzil, dia dan rakannya kemudian menarik mangsa ke tebing dan bergilir-gilir menekan dadanya untuk memberikan rawatan awal.
“Lebih kurang lima minit kemudian mangsa mula sedar dan muntah serta keluar air yang banyak dari hidung dan mulutnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.13 petang berkenaan kejadian itu.
“Mangsa dikejarkan ke HSAH dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) masih menjalankan operasi pencarian di sekitar lokasi kejadian untuk memastikan tiada mangsa lain yang terlibat,” katanya.


































