Megan Oesting (dua dari kiri) mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat Persekutuan Renang Malaysia (MAS) dengan Institut Sukan Negara (ISN) di Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Setelah sekian lama menyepi daripada kilauan pingat di pentas antarabangsa, Persekutuan Renang Malaysia (MAS) mengambil langkah berani untuk melakukan rombakan besar-besaran secara drastik.
Menurut Utusan Malaysia, Naib Presiden MAS, Marilyn Chua Yu Cing berkata, justeru persatuan melantik pengarah teknikal baharu dari Amerika Syarikat (AS), Megan Oesting sebagai pengendali yang diberi tanggungjawab membimbing atlet negara.
“Saya rasa kita perlu melakukan perubahan yang besar. Kita perlu seseorang yang mempunyai semangat kepimpinan, keupayaan, kecerdasan untuk membawa kita ke depan.
“Kami lihat seseorang untuk bawa negara ke peringkat dunia itu tiada dan kami mahu meningkatkan pembangunan, bakat, jurulatih, pelapis untuk semua tahap,” katanya ketika sidang media di sini semalam.
Megan yang berpangkalan di Oregon mempunyai kepakaran selama dua dekad dalam sukan renang dan kejurulatihan yang kompetitif bakal bergabung dengan jurulatih baharu skuad kebangsaan, Eric Anderson.
Jurulatih berkenaan yang menyertai MAS pada 8 Februari lalu itu berkata, ia satu penghormatan mendapat undangan daripada MAS turut menyatakan mempunyai visi dan misi yang sama bagi melahirkan pelapis bertaraf dunia.
“Saya diyakinkan oleh mereka (MAS) untuk projek besar ini dalam jangka masa yang panjang.
“Kita semua akan bersatu mencari jalan yang terbaik meningkatkan tahap perenang ke setiap peringkat dan bukan sahaja di tahap antarabangsa,” katanya.
MAS melihat Megan mampu mengubah mencari segala titik kelemahan dan meningkatkan kemahiran mereka sekali gus membina skuad renang yang lebih kompetitif.
Kali terakhir skuad Malaysia beraksi cemerlang di pentas antarabangsa menerusi bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah dan Daniel Bego.
































