Dr. Jeffrey (lima dari kanan) bergambar bersama dengan semua yang hadir dalam pelancaran Pusat Perkhidmatan Pelanggan Perbadanan Pinjaman Sabah.
TAMBUNAN: Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) melancarkan Pusat Perkhidmatan Pelanggan di Pekan Tambunan, hari ini.
Ia dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang yakin semua warga Tambunan dapat memanfaatkan perkhidmatan dan fasiliti kewangan yang disediakan oleh pihak SCC dengan kewujudan pusat ini.
“Saya amat gembira dengan pencapaian SCC dan berharap pihak Lembaga Pengarah dan Pengurusan serta kakitangannya akan terus meningkatkan usaha untuk menentukan SCC terus kekal dan dapat membantu Kerajaan Negeri mencapai matlamat pembangunan sosial dan ekonomi rakyat negeri ini.
“Saya juga amat gembira dengan inisiatif pihak SCC untuk meluaskan jaringan perkhidmatan mereka kepada semua pelusuk Sabah, khususnya daerah Tambunan.
Selain daripada peluasan jaringan perkhidmatan secara fisikal, saya juga berharap pihak SCC dapat meluaskan perkhidmatan di daerah ini secara digital melalui peluasan perkhidmatan menggunakan aplikasi YONO dan E-Wallet YONO.

Dr. Jeffrey menyempurnakan pemotongan reben.
“Aplikasi YONO dan e-wallet ialah satu kaedah transaksi tanpa tunai yang memudahkan proses pembayaran dan kutipan serta memberi peluang kepada mereka yang tidak berupaya untuk membuka akaun bank.
“Inisiatif ini adalah sejajar dengan matlamat Kerajaan Negeri melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya, khususnya melalui pemboleh daya penambahbaikan fasiliti kemudahan kewangan dan juga keberkesanan penyampaian perkhidmatan,” kata Dr. Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.
Beliau juga memuji pihak SCC yang sentiasa bekerjasama dengan pihak Kementeriannya dan agensi-agensi kerajaan lain dalam memberi fasiliti pembiayaan serta latihan khususnya dalam bidang berkaitan pertanian beserta industri makanan.
“Bagi pihak Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak SCC. Tambunan merupakan daerah yang tertumpu kepada industri ekonomi pertanian, oleh itu saya yakin peluasan perkhidmatan khusus pihak SCC ke daerah ini adalah amat bersesuaian,” ujar beliau.
Ahli Parlimen Keningau itu turut mengucapkan tahniah kepada SCC kerana telah jauh berkembang sejak penubuhannya 68 tahun dahulu dan kini kekal sebagai salah satu agensi kerajaan yang kekal relevan di hati penduduk Sabah.
Beliau juga berharap sembilan projek yang diserahkan pada majlis tersebut dapat dimanfaatkan oleh komuniti serta penduduk daerah ini untuk jangka masa yang lama.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SCC, George Taitim Tulas; Pengerusi SCC, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai serta pemimpin setempat.


































