Abu Tariq Jamaluddin bergambar bersama pengamal media pada Majlis Sesi Libat Urus Ketua Pegawai Eksekutif LHDN bersama Media 2024, di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan membanteras kes-kes ekonomi bayangan (shadow economy) terutama menerusi pekerjaan sambilan yang menerima gaji secara tunai dengan mengelak pelaporan dan bayaran cukai pendapatan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, aktiviti ekonomi bayangan mewujudkan kesan yang besar terhadap jurang cukai di negara.
Katanya, tumpuan LHDN berkaitan ekonomi bayangan ini ialah terhadap warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan atas nama sendiri atau rakyat tempatan.
“Aktiviti ekonomi warga asing ini ada yang berkemungkinan wajar dikenakan cukai. Jadi kita nak buat satu tindakan bagi memastikan mereka membayar cukai sekiranya sampai kepada nisbah yang perlu dikenakan cukai.
“Bukan sahaja warga asing itu sendiri, tetapi orang di belakang mereka. Banyak juga warga asing yang menggunakan lesen orang tempatan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas program Sesi Libat Urus KPE LHDN bersama Media Tahun 2024, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Abu Tariq berkata, pihaknya juga akan meneliti maklumat individu menyimpan wang di luar negara yang diterima secara berkala daripada pihak berkuasa cukai seluruh dunia.
Katanya, semakan akan dilaksanakan bagi memastikan cukai telah dibayar terhadap simpanan yang berada di luar negara dengan meletakkan fokus kepada dua perkara iaitu akaun asing dan aset individu luar negara.
“Kita akan bandingkan dengan pengisytiharaan cukai. Kalau ada yang tidak setimpal dengan pendedahan, kita akan buat semakan lanjut.
“Untuk akaun asing memang kita dapat dari negara-negara luar secara berkala. Maklumat itu kita ada jadi kita akan semak sama ada simpanan yang mereka ada telah dibayar cukai,” katanya.


































