SHAH ALAM: Kemelut pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia dengan bekas jurulatihnya, Indra Widjaja berakhir dengan baik selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk mencari jalan penyelesaian di luar mahkamah.
Menurut Utusan Malaysia, jurulatih kelahiran Indonesia itu kenyataan media semalam memaklumkan, persefahaman bersama telah dicapai dan ia telah disahkan menerusi suratcara peguamcara masing-masing.
Melalui surat Tetuan Wan Ahmad Ridzuan & Co (bagi pihak Indra) bertarikh 14 Februari 2024 dan surat Tetuan Law Partnership (bagi pihak LZJ Management Sdn Bhd) bertarikh 6 Februari 2024, kedua-dua pihak bersetuju untuk Indra mengeluarkan kenyataan media seperti berikut.
“Berhubung dengan tuntutan yang difailkan oleh Indra terhadap LZJ Management, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk penyelesaian luar mahkamah secara baik.
“Perpisahan antara LZJ Management dan Indra telah terhasil semata-mata atas pertimbangan oleh pasukan LZJ tentang falsafah, kaedah kejurulatihan dan latihan LZJ,” kata kenyataan tersebut.
Jelas kenyataan itu, perpisahan antara LZJ Management dan Indra tidak mempunyai kaitan dengan kaedah kejurulatihan dan prestasi Indra di bawah kontrak pekerjaan.
Justeru, kedua-dua pihak berharap tidak akan timbul sebarang spekulasi mahupun andaian berhubung perkara itu dan mereka mengucapkan selamat maju jaya terhadap karier profesional masing-masing.
Sementara itu, Zii Jia ketika ditemui pemberita menyifatkan keputusan yang dicapai kedua-dua belah pihak merupakan satu berita yang positif.

































