Jahid (tengah) bergambar bersama beberapa penduduk dan tetamu yang hadir.
TUARAN: Rakyat Sabah daripada pelbagai kaum wajar untuk sentiasa berbangga kerana dapat hidup dalam keadaan aman harmoni sambil meraikan kepelbagaian budaya dan perayaan yang ada.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, perkara seumpama itu adalah wajah sebenar Sabah yang tidak mengira agama, suku kaum dan aliran politik, semua sama dalam satu perayaan yang diraikan.
“Ini harus kita teruskan. Begitu juga budaya saling menghormati dan toleransi kaum yang membolehkan kita menyambut pelbagai perayaan dalam suasana harmoni,” katanya ketika merasmikan sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Bukit Giling, dekat sini, kelmarin.
Turut hadir Ketua Daerah Tamparuli, OKK Jular Harung, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Giling, Madingki Koboh.
Jahid yang juga ADUN Tamparuli berkata, rakyat seharusnya bersyukur kerana dapat meraikan kepelbagaian dari segi kaum dan budaya, oleh itu elakkan persengketaan, sebaliknya meneruskan budaya saling menghormati.
“Jangan kita terpengaruh dengan cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang menyemai kebencian sesama kita, tetapi teruskan semangat saling membantu sesama kita,” katanya.
Jahid turut memuji usaha penduduk kampung mengadakan program tersebut, sambil berharap usaha tersebut akan menjadi ikutan serta dorongan kepada masyarakat mengikut kawasan masing-masing.
Terdahulu, Pengerusi Penganjur, Henry Kinsun bersama Pengerusi JKKK, Madingki Koboh menghargai sumbangan dan kesatuan yang ditunjukkan penduduk kampung sehinggalah program itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Antara pengisian program adalah acara cabutan bertuah, pertandingan Karaoke, pertandingan mewarna, Ratu Fesyen dan banyak lagi.