Nor Sarah Adi
PETALING JAYA: Atlet lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi terpaksa menunggu sehingga Sukan Olimpik Paris 2024 tamat pada Ogos depan sebelum dibenarkan berkelana ke Australia.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard mendedahkan pihaknya telah berbincang dengan Institut Sukan Australia Barat (WAIS) bagi menghantar Sarah berlatih di sana untuk beberapa bulan.
Bagaimanapun WAIS tidak dapat membekalkan kepakaran mereka kepada pelatih luar untuk sementara waktu memandangkan mereka kini sedang giat mempersiapkan barisan atlet Australia untuk Sukan Olimpik Paris yang akan berlangsung Julai depan.
Salah seorang daripadanya adalah Nina Kennedy yang juga juara dunia lompat bergalah berpotensi meraih pingat emas di temasya sukan terbesar dunia itu nanti.
Justeru sekiranya tiada masalah, KOM akan berunding semula dengan WAIS bagi memastikan Sarah mendapat tempat berlatih di sana pada hujung tahun ini.
“Kami telah berunding dengan mereka, dan mereka akan memberi kata putus selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024 untuk mengendalikan kem latihan buat Sarah.
“Ketika ini mereka sangat sibuk, apatah lagi mereka kini mempunyai juara dunia yang sedang bersiap untuk menghadapi Sukan Olimpik Julai depan, jadi mereka tidak dapat memberikan komitmen dan tumpuan untuk melatih atlet dari negara lain,” kata Ballard kepada Utusan Malaysia.
Ketika ini, Sarah akan kekal berlatih di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di bawah kendalian jurulatihnya, Roslinda Samsu.
Sekiranya rundingan itu berjaya dicapai, ia bakal menjadi destinasi terbaik buat Sarah untuk membuat persiapan menghadapi Sukan SEA Thailand 2025.