Pertahanan Arsenal, Gabriel Magalhaes (tengah) meraikan jaringannya ketika membelasah West Ham United 6-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam tadi.
LONDON: Arsenal meneruskan persaingan untuk memburu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatatkan kemenangan besar 6-0 ke atas West Ham United dalam aksi yang berlangsung di Stadium London malam tadi.
Arsenal yang turun tanpa beberapa tonggak seperti Gabriel Jesus, Thomas Partey dan Takehiro Tomiyasu masih mampu mengekang asakan tuan rumah sejurus wisel perlawanan dibunyikan.
Menurut Utusan Malaysia, pesta gol Arsenal bermula pada minit ke-32 selepas William Saliba cemerlang menanduk masuk bola ke gawang West Ham berpunca daripada sepakan penjuru yang diambil Leandro Trossard.t
Gol tersebut merancakkan lagi semangat barisan pemain Arsenal, dan skuad kendalian Mikel Arteta mendapat peluang untuk mengggandakan jaringan apabila pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti setelah Bukayo Saka dijatuhkan penjaga gol West Ham, Alphonse Areola.
Saka tidak menghadapi masalah untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke 41, sekaligus melakar rekod sebagai pemain termuda Arsenal menjaringkan 50 gol.
Tiga minit kemudian, pemain pertahanan, Gabriel Magalhaes menjadikan kedudukan 3-0 selepas menanduk kemas bola hasil sepakan percuma yang diambil Declan Rice.
Arsenal menutup babak pertama dengan keputusan 4-0 apabila Trossard berjaya melepaskan rembatan kencang ke gawang West Ham pada minit ke 47.
Keputusan itu mengecewakan sebahagian besar penyokong West Ham sehingga ada di antara mereka mula meninggalkan stadium ketika waktu rehat.
Bersambung aksi di babak kedua, Arsenal menambah derita anak buah David Moyes apabila Saka menjaringkan gol kelima pasukan pada minit ke 63 sebelum Rice menutup malam gemilang The Gunners dengan gol keenam selepas dua minit kemudian.
Kemenangan ini menyaksikan Arsenal merampas kedudukan Manchester City di tangga kedua liga biarpun kedua-dua pasukan berkongsi 52 mata. Liverpool pula kekal menerajui liga dengan 54 mata.


































