Miss Law
KUALA LUMPUR: Pemilik rumah di sebuah unit di tingkat 17, Flat Sri Sabah di sini yang musnah terbakar semalam mendakwa ada jiran terlihat percikan api dipercayai daripada rumahnya.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Miss Law, 32, berkata, ketika kejadian, dia berada di sebuah pusat beli-belah di Cheras sebelum mendapat panggilan daripada sepupunya kira-kira 9.45 malam yang memaklumkan berkaitan kejadian terbabit.
“Ketika kejadian, saya dan ibu keluar bersama dua anak sebelum sepupu yang tinggal di blok lain telefon beritahu rumah saya terbakar.
“Saya bergegas pulang, namun tidak dapat masuk. Ada jiran beritahu kebakaran bermula di rumah saya kerana dia ternampak percikan api pada kotak fius,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Dia yang menghuni kediaman terbabit bersama ibunya berkata, dia agak terkejut dengan kejadian menimpa kediaman tersebut yang telah diduduki sejak lahir.
Malah, ujarnya, dia dan ibunya mengalami kerugian beribu ringgit selain dokumen peribadi yang musnah dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa dan kejadian itu tidak berlaku ketika penghuni sedang tidur.
“Kami kini sehelai sepinggang, duit ibu juga musnah terbakar. Sangat terkejut, berlaku pada hari raya (Tahun Baharu Cina) pula.
“Kami harapkan pihak kerajaan dapat menyediakan rumah baharu yang dapat menggantikan yang terbakar ini,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut menafikan satu laporan yang mendakwa kebakaran tersebut berpunca disebabkan ritual agama sempena Tahun Baharu Cina.
Semalam , media melaporkan lima unit musnah terbakar dalam kebakaran di tingkat 17, Flat Sri Sabah di sini.
Dalam kejadian pukul 9.19 malam itu, seorang wanita warga berusia 62 tahun turut sesak nafas.
Seramai 16 penghuni daripada lima buah rumah terkesan dalam kejadian terbabit dan kini ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Cheras.