Harga beras tempatan dan import akan diselaraskan bagi mengelakkan manipulasi dan menangani isu penipuan dalam industri berkaitan makanan asas negara itu.
SUBANG JAYA: Harga beras tempatan dan import perlu diselaraskan bagi mengelakkan manipulasi dan menangani isu penipuan dalam industri berkaitan makanan asas negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, ia antara langkah yang terkandung dalam kertas cadangan oleh Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
Cadangan itu bakal menyaksikan harga beras tempatan yang kini dijual di pasaran RM26 bagi setiap 10 kilogram akan meningkat kepada sekitar RM30 hingga RM33.
Namun, di sebalik kenaikan harga harga beras tempatan itu ia secara tidak langsung dapat menangani masalah manipulasi harga beras import yang tidak dikawal kerajaan oleh pihak-pihak tertentu terutama kartel.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kertas cadangan berhubung langkah itu sudah pun dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipertimbangkan.
Menurutnya, Perdana Menteri meminta beliau mencadangkan penyelarasan harga beras dan telah menyiapkan serta menyerahkannya.
“Beliau (Perdana Menteri) minta saya sediakan kertas cadangan baru-baru ini dan saya telah siapkan cadangan berkaitan harga siling beras yang boleh membantu meringankan beban rakyat.
“Dipercayai wujud ‘permainan’ yang dikawal oleh pemborong dan peniaga besar, malah mereka mengaut keuntungan berlebihan.
“Bila berlaku kenaikan harga beras import, kenaikannya sangat tinggi, ia disebabkan India memberhentikan eksport beras. Di Malaysia, beras tempatan dengan beras import adalah dua perkara yang berbeza. Beras tempatan dikawal, beras import tidak dikawal.
“Tetapi bila harga beras import naik mencacak dan tidak dikawal, maknanya pengimport, pemborong, peruncit boleh jual sesuka hati sehinggakan ada yang menjualnya pada kadar mencecah RM45 hingga RM50,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, keadaan itu menyebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan mencampurkan beras tempatan ke dalam kampit beras import supaya dapat menjualnya pada harga lebih tinggi.
Jelasnya, keadaan itu menimbulkan persoalan bagaimana beras tempatan boleh ‘habis’ di pasaran sedangkan pengeluarannya dibuat secara bulanan dan peratusan tahap sara diri (SSL) sekitar 60 hingga 65 peratus berbanding beras import.
“Kerajaan sebenarnya boleh mengawal isu ini kerana kerajaan mempunyai kuasa, ada undang-undang dan ada wang. Pada bila-bila masa boleh ubah undang-undang, boleh beli sebanyak mungkin beras dan stabilkan kembali harganya.
“Ia adalah hak kerajaan untuk merasionalisasikan kembali harga beras kalau mahu. Jadi, saya sasarkan perkara ini boleh diselesaikan dalam masa tiga bulan daripada sekarang,” ujarnya lagi.
Barangan kritikal
Selain beras, jelasnya lagi, terdapat lima barangan lain yang disifatkan kritikal akan menjadi fokusnya selepas dilantik sebagai Pengerusi Naccol oleh Perdana Menteri iaitu harga ayam, telur, ikan, minyak masak dan daging import.
Katanya, beliau yakin bebanan rakyat dapat dikurangkan dengan menggunakan model perniagaan sama yang sudah dilaksanakannya hampir di seluruh kawasan Parlimen Bukit Gantang sejak tahun lalu.
“Apabila kos sara hidup meningkat, saya cari jalan apa boleh dibantu dan pada masa itu, kita pembangkang..tiada peruntukan. Jadi, apa dibuat adalah, saya memulakan dengan membeli ikan dari kapal dan berjaya menjualnya pada harga lebih murah daripada pasaran.
“Idea ini timbul semasa saya jadi Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Saya melihat peraih ambil harga lebih 50 peratus lebih murah berbanding pasar biasa. Begitu juga hasil laut yang lain termasuk sotong, ketam dan hampir 25 jenis hasil laut, ikan kita jual secara terus kepada rakyat.
“Kaedahnya ialah kita beli dari sumber, bawa terus kepada pengguna, kita sudah mengurangkan rantaian bekalan. Keduanya adalah volume (kuantiti). Kita akan dapat harga lebih murah jika beli dengan kuantiti yang lebih banyak dan kena jual sampai habis, jadi tidak perlukan kos untuk penyimpanan,” katanya.
Menurutnya, kaedah tersebut dapat membantu menjimatkan perbelanjaan bulanan setiap keluarga hampir RM400 dan pada masa sama tidak membebankan kerajaan untuk menanggung subsidi.
Ketika ditanya mengenai kewujudan ‘kartel’ yang mengawal harga barangan, Syed Abu Hussin tidak menafikannya, maka sebab itu beliau bertegas peranan penting perlu dimainkan untuk memperbaiki ekosistem rantaian pengedaran makanan dengan harga yang munasabah.
“Saya hendak harmonikan semula ekosistem, kalau kita biarkan kapitalis monopoli, maka ia akan menghancurkan negara. Sebaik mana pun Perdana Menteri yang kita ada, Perdana Menteri tetap tidak akan dapat kawal jika tidak memperbaiki ekosistem yang ada.
“Kalau rakyat tidak cukup makan, siapa susah? Yang ada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM), tetapi seolah-olah tidak terjamin. Saya tidak salahkan menteri kerana mungkin mereka tiada pengalaman, maka sebab itu agak sukar untuk mereka bertindak,” ujarnya.