Penyerang Liverpool, Darwin Nunez (tengah) meraikan jaringannya selepas membenam Burnley 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.
LIVERPOL: Hanya selepas beberapa jam berada di tangga kedua, Liverpool kembali merampas puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membenam pasukan tercorot, Burnley 3-1 dalam aksi yang berlangsung di Anfield.
Menurut Utusab Malaysia, gol pertama Liverpool hadir menerusi Diogo Jota pada minit ke 31 setelah menanduk bola ke gawang hasil sepakan penjuru.
Tatkala tuan rumah akan menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan satu gol, Burnley menyamakan kedudukan menerusi tandukan Dara O’Shea pada minit ke 45.
Skuad kendalian Jurgen Klopp memulakan separuh masa kedua dengan begitu agresif dan hasilnya mereka berjaya menggandakan jaringan apabila Luis Diaz menanduk masuk hantaran Harvey Elliot pada minit ke 52.
Wilson Odobert berpeluang untuk menyamakan kedudukan, namun rembatannya pada minit ke 63 tersasar tatkala gawang Liverpool sudah terbuka luas.
Di sebalik kerancakan Burnley mengasak kubu Liverpool, anak buah Jurgen Klopp cuba mencari satu lagi gol.
Elliot berjaya melakukan satu lagi hantaran silang, dan kali ini penyerang Uruguay, Darwin Nunez tidak mempersia-siakan peluang untuk menanduk gol ketiga Liverpool sekaligus menjaminkan kemenangan The Reds dalam perlawanan itu.
Keputusan ini meletakkan Liverpool berada di puncak liga dengan 54 mata, sementara Manchester City berada di tempat kedua dengan 52 mata.
































