Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri gagal layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
PETALING JAYA: Kempen skuad terjun negara di Kejohanan Akuatik Dunia, Doha terus malap apabila terbaru, giliran Nur Dhabitah Sabri gagal merebut tempat untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Utusan Malaysia, Dhabitah kembali turun kelmarin untuk acara kegemarannya, 3 meter (m) papan anjal individu namun terus dihantui masalah prestasi apabila bergelut untuk mempamerkan rutin terjunan yang memberangsangkan.
Selepas lima terjunan, Dhabitah hanya mampu mengutip 238.15 mata keseluruhan selain menyaksikan terjunan keempatnya hanya mencatat 28.50 mata.
Keputusan ini menyaksikan Dhabitah gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-24, sekaligus pintu untuk ke Sukan Olimpik Paris sudah pun tertutup buatnya.
Rakan sepasukan, Wendy Ng pula menamatkan saingan di tempat ke-38 keseluruhan dengan mencatatkan 216.00 mata.
Terdahulu, mereka berdua beraksi dalam acara 3m papan anjal seirama, namun gagal untuk meraih tiket ke Sukan Olimpik setelah mengakhiri saingan di tempat kesembilan keseluruhan.
Sebelum ini, ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong turut sama gagal untuk meraih tiket ke temasya sukan terbesar dunia itu apabila gagal menyerlah dalam acara 10m platform individu dan seirama bersama Dhabitah.
Setakat ini, hanya Bertrand Rhodict Lises sahaja menjadi penerjun Malaysia yang sudah mengesahkan tempat ke Paris.

































