PETALING JAYA: Polis menerima laporan daripada pengurus restoran mendakwa diganggu secara seksual oleh warga asing yang terlibat pergaduhan dengan pekerja restoran berkenaan di Jalan Bukit Bintang, di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung kejadian itu.
“Laporan pertama membabitkan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksan iaitu merusuh yang mana kesemua individu terlibat sudah ditahan.
“Kita juga menerima laporan kedua yang dibuat pengurus restoran dan siasatan mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan kerana menghendap,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan Projek Perintis Rapid KL Safety Point di Stesen Monorel Hang Tuah di sini, hari ini.
Allaudeen berkata, pihaknya akan menahan lanjut suspek kes kedua iaitu warga asing berusia 33 tahun yang sedang ditahan dalam kes pertama bagi membantu siasatan.
Terdahulu, media melaporkan, seramai empat warga tempatan dan seorang warga asing ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran makanan segera di Jalan Bukit Bintang, di sini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu 11.50 pagi Isnin selepas rakaman video kejadian itu tular di aplikasi X.
Beliau dipetik berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca akibat tindakan lelaki warga asing terbabit dikatakan mengganggu seorang wanita yang juga pengurus restoran berkenaan.
Sebelum itu, tular satu klip video berdurasi 16 saat memaparkan sekumpulan individu dipercayai pekerja sebuah restoran makanan segera bergaduh dengan individu lain sementara beberapa pekerja lain cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.
Berdasarkan video tular berkenaan, pergaduhan itu dipercayai berlaku di hadapan restoran makanan segera terbabit sambil diperhatikan oleh orang ramai yang lalu-lalang di situ.


































