Pesawat Firefly tiba di Lapangan Terbang Tawau.
TAWAU: Tawau meraikan ketibaan penerbangan carter sulung bersejarah dari Nanjing (NKG), China ke Tawau (TWU) hari ini, menandakan satu kejayaan bagi Lapangan Terbang Tawau, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.
Beliau berkata, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dengan bangganya mengumumkan permulaan penerbangan carter yang menghubungkan Nanjing, China, ke Tawau, Sabah oleh Firefly Airlines, dan Tourism Malaysia (TM) turut memainkan peranan dalam pembangunan laluan penerbangan baharu ini.
Menurut Liew, penerbangan carter ini, yang merupakan penerbangan antarabangsa pertama untuk Lapangan Terbang Tawau, membawa masuk 157 penumpang pada ketibaan pertamanya pada jam 5.55 pagi hari ini.
Beliau berkata, Firefly akan mengendalikan penerbangan carter tiga kali seminggu, yang dijadualkan tiba di Tawau setiap Selasa, Khamis dan Sabtu, dengan kapasiti 540 tempat duduk seminggu sehingga akhir Mac.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia Manoharan Periasamy (tengah) bersama Pan (di sebelah kanannya), Ginibun (lapan kiri) serta pegawai STB dan Tourism Malaysia, dan penari kebudayaan Sabah di Lapangan Terbang Tawau.
“Kami sangat mengalu-alukan rakan-rakan kita dari China dan berharap dapat mempamerkan khazanah budaya dan semula jadi Sabah yang unik.
“Pelancaran penerbangan terus dari Nanjing ke Tawau adalah bukti daya tarikan wilayah kami yang semakin meningkat sebagai destinasi pelancongan. Saya teruja laluan baharu ini akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan Tawau sebagai destinasi antarabangsa yang terkemuka.
“Pada masa ini, Sabah menerima 42 penerbangan berjadual mingguan dari Beijing, Shanghai, Guangzhou, Shenzhen, Hangzhou dan Wuhan ke Kota Kinabalu dengan kapasiti 7,520 tempat duduk seminggu,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengerusi Sri Pelancongan Sabah, Ken Pan mewakili Menteri pada majlis sambutan itu. Peranan beliau adalah untuk memastikan kelancaran ketibaan penerbangan dengan Pengurusan Lapangan Terbang Tawau bagi pihak ejen pelancongan di China.

Humphrey mengalungkan para pelancong dengan rantai manik asli.
Turut hadir Pengurus Kanan Pemasaran STB, Humphrey Ginibun yang mewakili Lembaga.
Warga China yang berminat untuk menerokai keindahan Tawau boleh menempah penerbangan mereka dengan mudah melalui pelbagai agensi pelancongan dalam talian (OTA) iaitu Ly.com, Ctrip, Qunar dan Fliggy.
































