Ellron (duduk, tiga kanan) bersama barisan kepimpinan yang baharu.
KENINGAU: Penyandang jawatan Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airlu (STAR) Sook, Datuk Ellron Angin mengekalkan jawatannya apabila memenangi pemilihan tersebut tanpa bertanding pada sesi pemilihan Mesyuarat Tri Tahunan STAR Bahagian N.45 Sook yang diadakan di Pahun Ri Aki, Kampung Biah Tengah, di sini, kelmarin.
Ellron yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah, bakal mengetuai pimpinan STAR Bahagian Sook sepanjang sesi tahun 2024 sehingga tahun 2027.
Bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian pula disandang oleh Setiausaha Politik beliau sendiri iaitu Jreneus Pagut.
Manakala bagi jawatan tiga Naib Ketua Bahagian pula masing-masing disandang oleh Lanusag Etap@Raipol, Dominik Kogi dan seorang lagi muka baru, Jauni Liam.
Bagi barisan Ahli Jawatankuasa yang baharu pula didahului dengan Indiu Bandi, Andy Jusit, Alludin Yunus, Henry Silingan, Manuil Labinsin, Agustine Angkimo dan Agustine Kihing.
Ketua Wiramuda dan Wiranita pula masing-masing disandang oleh Larry Duin Edwin dan Rashna Angin
Sementara itu, Ellron mengingatkan barisan kepimpinan baharu yang dipilih bahawa jawatan yang digalas dan diamanahkan ini bukanlah satu keistimewaan malah satu pengorbanan dan tanggungjawab sebagai ahli STAR.
“Kita jangan fikir menjawat jawatan ini adalah satu keistimewaan tetapi adalah satu tanggungjawab, sebenarnya keahlian kita dalam jawatankuasa adalah satu tanggungjawab besar,” katanya.
Di samping itu, mereka yang baharu dilantik dalam Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) Bahagian N.45 Sook digesa untuk terus memperjuangkan hak-hak Sabah dan berkempen bagi mengukuhkan kekuatan parti selari dengan hasrat Presiden STAR dan tugas utama di peringkat Bahagian Sook.
Bagi membolehkan AJKT Bahagian Sook lebih seimbang, beliau turut memaklumkan beberapa jawatan lain yang masih kosong akan diisi bukan sahaja dalam kalangan ahli politik tetapi mereka yang berpandangan jauh.
Malah golongan muda juga tidak akan dipinggirkan dalam mengisi kekosongan itu nanti memandangkan mereka mempunyai peranan besar dalam memberikan cadangan-cadangan bernas bukan sahaja kepada bahagian tetapi kepada negeri Sabah.
Difahamkan pemilihan AJKT ini merupakan pemilihan AJKT bahagian yang pertama bagi parti STAR dan akan disusuli dengan bahagian-bahagian lain di seluruh Sabah.
































