Hajiji (tengah) menyaksikan majlis penyerahan replika cek dividen daripada Abdul Aziz (kiri) kepada Jasnih (kanan).
KOTA KINABALU: Kimanis Power Sdn. Bhd. membayar dividen RM16 juta kepada pemegang sahamnya, NRG Consortium (Sabah) Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah bagi tahun kewangan berakhir 2023.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan penyampaian replika cek daripada Pengerusi Kimanis Power, Abdul Aziz Othman kepada Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd. (ICSB), Datuk Jasnih Daya di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Konsortium NRG mempunyai 40 peratus kepentingan dalam Kimanis Power yang mengendalikan Loji Kuasa Kimanis sejak 2014.
Petronas Gas Berhad (PGB) memiliki 60 peratus saham yang lain.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Kimanis Power Sdn. Bhd., Ketua Pegawai Eksekutif, Rozali Khamis, Pengurus Besar (Kewangan dan Risiko) PGB, Shahrul Azham Sukaiman, Pengurus Besar (BD&C) PGB, Hisham Maaulot dan Ketua Petronas Sabah dan Labuan, Siti Ayu Haniza A Wahab.


































